Monday, December 12, 2011

Pusat Latihan Belia Montfort (MYTC) Fokus Kepada Belia Pedalaman

PENAMPANG: Fokus kepada belia daripada kawasan pedalaman, antara kelebihan bagi Pusat Latihan Belia Montfort (MYTC) dalam menyediakan program latihan yang holistik.

Pengarahnya, Francis Chua berkata selain menyediakan latihan kemahiran kepada para pelatih, pihaknya turut berusaha membantu pembangunan insan secara menyeluruh.

Menurutnya, kebanyakan graduan MYTC berjaya menempatkan diri dalam pelbagai bidang kerjaya selepas tamat latihan di pusat itu.

“Ini antara kejayaan yang kami sentiasa harapkan dalam diri setiap pelatih dan sebab itu kami menitikberatkan kekuatan rohani mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penerimaan Sijil Tamat Kursus Pelatih Kumpulan Keenam di Kampus Perempuan MYTC di sini kelmarin.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh tetamu kehormat Datin Mary Wong Siow Lee iaitu isteri kepada Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Edward Yong Oui Fah.

Francis berkata, pengambilan pelatih dibuat setiap bulan Jun dan setakat ini masih terdapat 150 permohonan yang perlu diluluskan.

Namun pihaknya hanya mampu mengambil seramai 80 orang pelatih bagi setiap pengambilan.

“Kita melihat sambutan golongan belia untuk memasuki pusat ini sangat menggalakkan dan ia secara tidak langsung membantu kami untuk menggiatkan usaha mempertingkatkan perkhidmatan kepada para pelatih.

“Mereka juga mempunyai masa depan yang luas kerana di sini mereka memperolehi latihan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, selain kampus perempuan, MYTC juga mempunyai sebuah lagi kampus lelaki di Kinarut.
Walau bagaimanapun, jelasnya, kampus perempuan akan berpindah ke Kinarut memandangkan bangunan yang ada sekarang perlu dirobohkan.

Setakat ini, seramai lebih kurang 120 pelatih berjaya menamatkan kursus mereka di kampus perempuan.

“Mereka memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dalam kursus jahitan,” katanya.

Sementara itu, Mary turut berkesempatan mengingatkan kepada para graduan untuk bersedia menghadapi dunia luar dalam usaha mencari pekerjaan.

Menurutnya, kehidupan di kampus tidak sama dengan dunia luar, justeru semangat dan pengalaman yang diperolehi di MYTC perlu diaplikasi sebaiknya.

“Apabila kamu memiliki kejayaan pada masa hadapan, jangan lupa untuk kembali menabur bakti di pusat ini, kerana di sinilah kamu bermula,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...