Tuesday, December 13, 2011

Sharifah Salmah Ikon Usahawan Giat Mara


NASIR Safar (tengah) memotong reben sambil diperhatikan oleh Meriyam dan Syarifah Salmah pada majlis pelancaran Jemari Studio di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PELUANG untuk menjadi usahawan kini terbuka kepada sesiapa sahaja, penyertaan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan kian meningkat hingga ada yang diiktiraf sebagai ahli korporat yang berjaya.

Bekas-bekas penuntut program sijil dan latihan kemahiran Giat Mara yang sememangnya telah dilengkapi dengan pengetahuan berkaitan turut meneroka peluang atau ruang kerjaya dalam bidang keusahawanan serta perniagaan ini.

Beribu-ribu usahawan muda telah dilahirkan Giat Mara dalam usaha memperluaskan jaringan perhubungan kepada pelajarnya mengenai peluang kerjaya demi mengharungi arus globalisasi semasa.

Justeru, bekas pelajar lulusan, Dandanan Rambut Giat Mara Ampang Jaya, Sharifah Salmah Syed Zainol Abidin menjadi lambang ikon usahawan perniagaan Giat Mara yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Ikon Giat Mara ini mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, berpersonaliti yang menarik, bekerjaya, berkeperibadian murni serta minat yang mendalam dalam perniagaan.

Sharifah berkata, untuk menjadi usahawan terunggul dan berwibawa, seseorang itu mesti mempunyai faktor kendiri yang baik supaya mereka boleh membangunkan bangsa, agama dan negara.

"Jika diri disemai dengan modal insan, barulah kita boleh membantu orang lain, yang penting jangan sesekali kedekut ilmu demi kejayaan bangsa dalam perniagaan.

"Sebagai usahawan, kita juga tidak perlu takut untuk mengembangkan perniagaan, kita tidak mahu melihat anak Melayu sekadar berada di satu peringkat sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Salon Rambut dan Butik Kecantikan Jemari Studio di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu telah dirasmikan Presiden Kelab Veteran MAYC Kebangsaan, Datuk Nasir Safar. 

Hadir sama Ketua Pengawai Eksekutif Giat Mara, Meriyam Abd Majid.

Sharifah yang juga Pengarah Urusan Jemari Studio berkata, Giat Mara antara agensi kerajaan yang banyak membantu bumiputera dan dirinya dalam menceburi dalam bidang perniagaan.

"Sebagai bekas pelajar Giat Mara saya merasa bertuah kerana segala latihan dan kemahiran yang diberikan telah menjadi titik tolak kepada kejayaan saya dalam perniagaan kecantikan hari ini.

"Saya menggesa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meminati dunia perniagaan merebut peluang sijil dan kemahiran dalam mengikuti sebarang program di Giat Mara," katanya.

Katanya, selain melihat pelbagai kursus latihan di Giat Mara mampu mencetuskan minat dan idea untuk mereka menerokai apa jua bidang perniagaan di negara ini.

"Tidak rugi jika ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar kursus latihan Giat Mara sebegini, malah ia boleh dijadikan sebagai platform untuk menjadi usahawan yang berjaya di negara ini," katanya.

- Utusan, 12-12-2011

1 comment:

Anonymous said...

Kecewa dengan sikap pekerja@pelatih jemari studio.. dlm pada sy letih & ingin mendapatkan perkhidmatan mereka... dalam pada sy lena kerana kepenatan... belakang mereka boleh tertawakan sy... smpi skrg sy x pg utk membuat rawatan bukan kerana malu @ segan tetapi kerana sy perlukan mereka yg tahu etika & apa itu perkhidmatan pelanggan,... kita bayar bukan "free"!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...