Thursday, December 08, 2011

SK Kampung Kudung Bernilai RM7 Juta Untuk Murid Orang Asli


CHUA Tee Yong (kanan) menepung tawar pasangan pengantin Orang Asli di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh, Labis, Segamat, baru-baru ini.


LABIS 6 Dis. – Seramai 148 murid Orang Asli di Kampung Kudung Bekok dekat sini, bakal menikmati suasana pembelajaran lebih selesa dan sempurna berikutan siapnya bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudung bernilai RM7 juta, sejak sebulan lalu.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, selain kemudahan bilik darjah yang serba lengkap dengan perabot baharu, bangunan baharu itu turut mempunyai kemudahan asrama bagi dengan kapasiti lebih 150 murid.

“SK Kampung Kudung merupakan sekolah yang cukup lengkap daripada segi kemudahan, termasuk terdapatnya sistem pendingin hawa yang mana setakat ini hanya sekolah ini sahaja mempunyai kemudahan sebegitu.

“Ini membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib Orang Asli dan segala permasalahan mereka sentiasa didengari. Begitu juga dengan pembangunan modal insan seperti pendidikan dan peluang untuk golongan belia yang mana pelbagai perancangan telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan,” katanya di sini, kelmarin.

Sebelum itu, Tee Yong turut menyampaikan bantuan keperluan peralatan berupa beg sekolah dan alat tulis kepada 250 murid Orang Asli dalam Parlimen Labis bernilai RM25,000 yang mana RM12,000 daripadanya dibiayai oleh Bank Muamalat.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan MCA Bahagian Labis menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, beliau menyatakan persiapan rapi telah dibuat sebaik pilihan raya umum sebelum ini tamat melalui pendekatan turun padang, menyelesaikan masalah rakyat dan menggunakan media baharu sebagai medium penyampaian maklumat.

“Saya sentiasa mengingatkan jentera parti agar tidak lalai dan berasa selesa dengan keadaan yang ada kerana jika kita leka, pihak lawan akan mengambil kesempatan atas kealpaan kita.

“Saya percaya, bekerja keras dengan ikhlas dan mendampingi rakyat sebagai satu cara memenangi hati mereka,” katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...