Tuesday, December 13, 2011

UniMAP Ungguli Pertandingan 1 World Culture di Kolej Universiti Nilai


SHEHABADDIN Galal Hael (tengah) bersama sebahagian daripada peserta pertandingan 1 World Culture di Kolej Universiti Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


MAHASISWA Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli pertandingan 1 World Culture apabila dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan nyanyian dan tarian yang berlangsung di Kolej Universiti Nilai baru-baru ini.

Lebih membanggakan, paduan suara bagi kategori lelaki, Shehabaddin Galal Hael, dari Yemen turut diumumkan sebagai pemenang bagi kategori iringan iaitu vokal terbaik lelaki.

Dengan kemenangan itu, beliau yang mengalunkan lagu Mimpi Laila membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 bagi kategori solo dan RM1,000 bagi vokal terbaik serta trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, pasukan tarian UniMAP yang mempersembahkan tarian Endang dan Yashaain turut dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat kedua menjadi milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Universiti Teknologi Petronas.

Pengarah Unit Kebudayaan UniMAP, Husna Afifi Mohd. Yusoff berkata, kejayaan yang diraih itu berjaya mengubat kekecewaan pada pertandingan sama yang berlangsung tahun lalu selepas hanya memenangi kategori nyanyian.

"Alhamdulillah, tahun ini kita memenangi kedua-dua kategori iaitu nyanyian dan tarian meskipun kita gagal bagi kategori nyanyian solo wanita,"katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan itu adalah hasil kerjasama Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.

1 World Culture merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Nilai dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Sebanyak 10 universiti mengambil bahagian dalam pertandingan tarian manakala pertandingan nyanyian pula disertai oleh 36 peserta.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...