Monday, January 02, 2012

17 Mahasiswa Ditahan Polis Demonstrasi di UPSI Dibebaskan

  NR       Monday, January 02, 2012

TANJUNG MALIM: Polis menahan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram dengan membawa keranda, tidur di atas jalan dan cuba memanjat pagar kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, awal pagi semalam.

Demonstrasi itu diadakan atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan ‘membebaskan’ pelajar UPSI, Adam Adli yang disiasat kerana menurunkan bendera dengan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada 17 Disember, daripada dikenakan tindakan tatatertib.
Turut ditahan pada perhimpunan haram yang dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu ialah Adam, 21. Adam ketika ini disiasat UPSI dengan pendengaran tatatertib ditetapkan 9 Januari ini, selain polis.
Demonstrasi itu disertai kira-kira 70 penuntut universiti, kebanyakannya pelajarUPSI, Universiti Industri Selangor (UNISEL), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Management and Science University (MSU). Dua penuntut, termasuk Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Safwan Anang turut cedera ketika polis menyuraikan demonstrasi itu.

Safwan dikatakan cedera, termasuk patah gigi selepas merempuh dinding kaca sebuah klinik 24 jam di hadapan UPSI ketika kumpulan terbabit bertempiaran lari apabila polis cuba menahan mereka selepas amaran bersurai tidak diendahkan.

Seorang lagi mahasiswa yang tidak dikenal pasti identitinya, juga cedera di kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang mengesahkan penahanan itu berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar kampus UPSI seawal 5 petang kelmarin selepas mendapat maklumat awal mengenai perhimpunan haram dianjurkan sebuah pertubuhan tidak berdaftar, SMM. 
Beliau yakin SMM mengambil kesempatan mengadakan perhimpunan haram ekoran penganjuran dua acara iaitu konsert ambang tahun baru dan perlumbaan ‘mountain bike’ oleh UPSI, petang kelmarin.

“Polis mengambil pendekatan berhemah untuk menangani insiden itu. Malah, Ketua Polis Daerah (OCPD) Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan, sendiri turun ke lokasi untuk berunding dengan mereka supaya bersurai secara aman jam 1 pagi.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila kira-kira 70 mahasiswa, termasuk penuntut wanita mula menjerit dan merentangkan beberapa kain rentang dan poster menyebabkan polis terpaksa memberikan amaran supaya mereka bersurai.

“Namun keadaan menjadi semakin tegang apabila pelajar mara ke depan dengan memprovokasi polis. Mereka mula baring di atas jalan raya menghalang lalu lintas serta mengganggu keselamatan awam. Selain itu, ada pelajar yang menggoncang dan cuba memanjat pagar kampus UPSI.

“Apabila keadaan menjadi tegang dan pelajar tidak mematuhi nasihat, kita ambil tindakan menangkap. Mereka lari bertempiaran dan merempuh kedai berdekatan, termasuk sebuah klinik berdinding kaca yang pecah, menyebabkan dua orang cedera,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim di sini, semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof dan Othman.

Sementara itu, kira-kira 100 orang, termasuk pemimpin pembangkang antaranyaNaib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkumpul di hadapan IPD Tanjung Malim tengah hari semalam menuntut pembebasan terbabit.

Mohd Shukri berkata, semua 17 mahasiswa itu berusia 19 hingga 24 tahun yang ditahan di Balai Polis Tanjung Malim direkodkan keterangan mereka dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 145 Kanun Keseksaan kerana memasuki atau berada dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat (merempuh klinik) dan Seksyen 27(5) Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram tanpa permit.

Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan petang semalam dengan jaminan polis.

Polis turut merampas pembesar suara dan beberapa kain rentang serta poster wajah Perdana Menteri yang digunakan dalam perhimpunan itu.

Mohd Shukri juga menafikan laporan blog dan portal yang mendakwa polis bertindak ganas dengan memukul pelajar terbabit, termasuk sehingga seorang nazak.

“Ini semua, termasuk dakwaan polis kerah FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) adalah pembohongan untuk memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis tidak kerahkan FRU, hanya anggota tugas am yang mengawal keadaan,” katanya. 

- SH
logoblog

Thanks for reading 17 Mahasiswa Ditahan Polis Demonstrasi di UPSI Dibebaskan

Previous
« Prev Post

No comments: