Thursday, January 12, 2012

20,000 Pelajar Miskin Daftar Program e-Sinar di Kedah Terima Bantuan RM100

  NR       Thursday, January 12, 2012
ALOR SETAR 11 Jan. - Sebanyak 20,000 pelajar miskin di negeri ini yang mendaftar di bawah program e-Sinar akan menerima bantuan RM100 seorang mulai penghujung Januari ini untuk membantu meringankan beban persekolahan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sebelum ini hanya seorang pelajar daripada sebuah keluarga miskin dipilih untuk menerima bantuan itu, tetapi tahun ini bantuan tersebut ditambah kepada dua penerima bagi setiap satu keluarga.

"Sebanyak 10,000 keluarga terpilih menerima bantuan tahun ini bagi setiap keluarga, dua pelajar akan menerima bantuan RM100 tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Menurutnya, bantuan yang akan diberikan tidak mengira kaum dan semua rakyat negeri ini yang mendaftar di bawah program e-Sinar sehingga 31 Disember 2010 layak menerimanya.

"Mereka yang bersekolah di sekolah Cina, India dan sekolah agama semua akan dapat duit bantuan ini," katanya.
Selain itu, Azizan berkata, pada tahun ini juga kerajaan negeri akan menaikkan elaun untuk 54 pemilik dan 12 pembantu pusat latihan kanak-kanak yang berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.

"Sebelum ini, elaun mereka hanya RM410 sahaja, namun mulai Januari ini gaji mereka naik sehingga RM820 dan kenaikan elaun ini adalah 100 peratus," ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, lesen hiburan yang dahulunya diperbaharui sebulan sekali, kini perlu diperbaharui dalam tempoh setahun atau enam bulan sekali.

"Kita putuskan yang pemilik pusat hiburan boleh perbaharui lesen mereka setahun atau enam bulan sekali bagi memudahkan proses kutipan hasil.

"Perkara ini sudah dijalankan di Kulim dahulu dan kita tengok tidak ada masalah, sebab itu semua pihak bersetuju untuk perluaskan perkara ini di seluruh negeri Kedah," jelasnya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 20,000 Pelajar Miskin Daftar Program e-Sinar di Kedah Terima Bantuan RM100

Previous
« Prev Post

No comments: