Thursday, January 19, 2012

3,424 Pelajar Politeknik Kuching, Sarawak Terima Baucar Buku 1Malaysia RM200

  NR       Thursday, January 19, 2012

MANFAATKAN SEBAIKNYA: Para pelajar Politeknik Kuching Sarawak menunjukkan Baucar Buku 1Malaysia yang mereka terima semalam. 

KUCHING: Seramai 3,424 pelajar Politeknik Kuching Sarawak menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM200 membabitkan peruntukan sebanyak RM684,800, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, insentif yang diberikan itu harus digunakan sebaik-baiknya untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan bermutu yang dapat membantu pembelajaran para pelajar.

“Baucar ini tidak boleh ditukar dengan wang tunai, kerana objektif utama kerajaan dalam melaksanakannya adalah untuk membantu pelajar yang tidak dapat membeli buku rujukan dan bahan penyelidikan sendiri.

“Oleh itu, diharapkan anda tidak menyalahgunakan baucar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar Politeknik Kuching Sarawak yang diadakan di dewan serba guna Politeknik Kuching Sarawak di sini, semalam.

Pada 7 Oktober 2011 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM260 juta bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku RM200 ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Parlimen.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di pusat matrikulasi, tingkatan enam, institusi pengajian tinggi termasuk politeknik dalam bidang diploma, diploma lanjutan, ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

Dr Rahman memberitahu, inisiatif penyerahan BB1M bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian.

Jelasnya, ia juga selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang dapat menikmati pendidikan yang berkualiti sekali gus membentuk masyarakat berilmu di negara ini.

Sementara itu Pengarah Politeknik Kuching Ong Guat Leng menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh kerajaan serta mengganggapnya sebagai durian runtuh buat pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Para pelajar di hadapan saya ini amat bertuah kerana terpilih untuk menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya berharap para pelajar bijak memilih buku-buku yang diperlukan supaya bersesuaian dengan proses pengajaran dan pembelajaran semasa,” ujarnya menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Jemain Entol.

Beliau turut mengingatkan para pelajar untuk menggunakan baucar itu sebaik-baiknya.

“Saya tidak mahu menerima sebarang laporan penyelewangan atau salah guna baucar yang diberikan membabitkan pelajar-pelajar Politeknik Kuching. Sebaliknya manfaatkanlah pemberian baucar buku ini sebaiknya bagi tujuan pembelajaran di sini dan masa depan,” katanya.

Kesemua 3,424 pelajar yang menerima BB1M itu terdiri daripada pelajar sesi Disember 2011 termasuk pelajar Kursus Secara Sambilan (KSS) serta mereka yang sedang menjalani latihan industri.

Sementara itu, pelajar tahun pertama, Noorlinah Madin memberitahu bahawa dia amat beterima kasih kepada kerajaan atas baucar tersebut yang dapat membantunya membeli lebih banyak buku yang relevan dengan subjek yang diambil.

“Saya rasa ia akan membantu mengurangkan beban untuk membeli buku,” katanya.

Noorlinah yang berasal dari Kota Belud, Sabah memberitahu bahawa ia juga dapat meningkatkan pengetahuan pelajar.

Ini kerana sebelum ini, katanya ramai yang tidak mampu membeli bahan bacaan yang relevan.

- UB
logoblog

Thanks for reading 3,424 Pelajar Politeknik Kuching, Sarawak Terima Baucar Buku 1Malaysia RM200

Previous
« Prev Post

No comments: