Wednesday, January 04, 2012

449,475 Murid Tahun 1 Mulakan Sesi Persekolahan 2012

  NR       Wednesday, January 04, 2012
BEBERAPA murid menaiki perahu untuk pulang ke rumah selepas sekolah mereka terpaksa ditutup kerana banjir di Kampung Tersan, Rantau Panjang semalam.

KUALA LUMPUR — Penggal pertama sesi persekolahan 2012 menyaksikan 449,475 murid melangkah ke Tahun Satu termasuk 81,842 di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memulakan sesi persekolahan semalam.
Menurut perangkaan Kementerian Pelajaran, bilangan pelajar yang memulakan Tingkatan Satu pula berjumlah 437,519.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata Selangor mencatat kemasukan tertinggi pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu iaitu masing-masing 85,894 dan 77,495.
Ia diikuti Johor dengan 54,250 murid Tahun Satu dan 52,101 pelajar Tingkatan Satu.
“Kemasukan murid ke sesi persekolahan 2012 berjalan lancar kecuali di beberapa negeri yang dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pecahan bilangan murid Tahun Satu untuk negeri-negeri lain ialah Sabah, 44,342; Sarawak, 42,005; Perak, 35,004; Kedah, 32,068; Kelantan, 29,476; Pahang, 24,314; Pulau Pinang, 22,730; Kuala Lumpur, 22,037; Terengganu, 20,298; Negeri Sembilan, 16,952; Melaka, 13,436; Perlis, 3,669; Putrajaya, 1,669 dan Labuan, 1,331.
Bagi Tingkatan Satu pula, Sarawak mencatatkan 40,334 pelajar; Sabah,  39,918; Perak, 39,565; Kedah, 34,202; Kelantan, 28,487; Pulau Pinang, 22,667; Pahang, 22,458; Terengganu, 21,871; Kuala Lumpur, 20,209; Negeri Sembilan, 17,807; Melaka, 13,736; Perlis, 4,224; Putrajaya, 1,264 dan Labuan, 1,181.
Sesi persekolahan di beberapa sekolah di Tumpat, Gua Musang dan Pasir Mas, Kelantan terganggu akibat banjir melibatkan lebih 2,000 pelajar.
Abdul Ghafar berterima kasih kepada pihak sekolah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan kelancaran kemasukan pelajar untuk sesi 2012.
Di PERLIS, Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata 24,917 murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan di negeri itu.
Md Isa berkata jumlah sekolah menengah di Perlis bakal meningkat kepada 30 buah pada pertengahan tahun ini apabila tiga lagi sekolah yang sedang dalam pembinaan mula beroperasi.
Sekolah-sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri, SMK Mata Ayer dan SMK Guar Nangka, katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Datuk Sheikh Ahmad, Arau dan Sekolah Kebangsaan Padang Kota di Bintong.
Sambil berkata lawatan itu bertujuan meninjau masalah banjir yang dikatakan kerap berlaku di kedua-dua sekolah berkenaan, Md Isa berkata: “Saya telah meminta Jabatan Pelajaran Perlis menangani masalah itu dan jika perlu, memohon peruntukan daripada Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan infrastruktur.”
Di KELANTAN,     Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Hussin Awang berkata dua sekolah masing-masing di jajahan Pasir Mas dan Gua Musang serta tiga lagi di jajahan Tumpat belum dapat meneruskan sesi persekolahan akibat banjir.
“Namun, keseluruhan operasi kemasukan pelajar baru berjalan lancar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Kota Baharu.
Sekolah yang terlibat dengan banjir ialah Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah dan SABK Adiniah di Rantau Panjang, Pasir Mas; Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan SK Bihai di Gua Musang; dan SK Bendang Pak Yong, SK Telok Jering dan SK Simpangan di Tumpat.
Hussin berkata 208,700 murid sekolah rendah dan 156,935 pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan 2012.
Di TERENGGANU, dua sekolah di daerah Setiu iaitu SK Kampung Bukit dan SK Kampung Besut memulakan sesi persekolahan hari ini setelah tidak dapat dibuka semalam.
Timbalan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Kipayatu Allah Mohd Said ketika dihubungi, berkata seramai 704 murid di dua sekolah berkenaan

mula memasuki kelas masing-masing pagi ini.
Semalam SK Kampung Bukit (53 murid) dan SK Kampung Besut (201 murid) tidak dapat dibuka seperti sekolah lain di seluruh negeri akibat banjir.– BERNAMA
logoblog

Thanks for reading 449,475 Murid Tahun 1 Mulakan Sesi Persekolahan 2012

Previous
« Prev Post

No comments: