Saturday, January 07, 2012

Pelajar Miskin di Kelantan Dibantu Wang Ihsan Lanjut Pelajaran Ke IPT


Dr. Awang Adek Hussin (dua kanan) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada pelajar termasuk anak-anak yatim yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Bachok, baru-baru ini.



BACHOK 6 Jan. - Pelajar miskin terutama kalangan anak yatim yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi pembelaan sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin berkata, keutamaan diberikan kepada pelajar yang tidak mempunyai tempat bergantung kerana kerajaan tidak mahu masalah kewangan menghalang mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, pihaknya telah memutuskan bahawa pelajar yang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah, diploma dan matrikulasi akan menerima bantuan sebanyak RM800, RM500 serta RM300.

"Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan menyediakan borang khas yang perlu diisi secara dalam talian dan diserahkan semula ke JPP atau pejabat UMNO bahagian berdekatan bagi penyelarasan bantuan.

"Ia diagihkan secara telus tanpa mengira fahaman politik kerana wang ini adalah hak rakyat Kelantan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Wang Ihsan Fasa Empat berjumlah RM132,800 kepada 214 pelajar IPTA di Dewan Haji Hussin Perupuk dekat sini, baru-baru ini.

Awang Adek berkata, sehingga kini seramai 940 pelajar IPTA seluruh Kelantan sudah menerima bantuan di bawah wang ihsan membabitkan peruntukan sebanyak RM706,500.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Jamil Syafiq Ahyae Shakheri, 19, dari Kampung Tepuh, Gunung berkata, bantuan itu dapat meringankan beban kewangan keluarganya bagi menampung perbelanjaan awal ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pulau Pinang.

Mohd. Jamil berkata, dia dan adik-beradik lain yang tinggal bersama nenek di sini, kini bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka yang bekerja di kilang elektronik di Kuala Lumpur selepas kematian bapa mereka 10 tahun lalu.

"Saya akan gunakan pemberian wang ini untuk membeli buku dan bahan bacaan serta terima kasih kepada pihak terbabit kerana membantu pelajar miskin melanjutkan pelajaran," katanya.

- Utusan

No comments: