Thursday, January 19, 2012

SK Jalan Haji Baki, Kuching Lebih Daif & Goyah

  NR       Thursday, January 19, 2012

oleh Abdul Hakim Bujang

Dalam pilihanraya negeri yang lalu, saya dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai jentera kempen Barisan Nasional yang berkampung di Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki, Kuching.

Mustahil bagi Menteri Pelajaran Malaysia itu tidak melihat betapa daifnya keadaan sekolah anak-anak peribumi yang letaknya betul-betul dipinggir Kota Sentosa. Bangunannya uzur, bagaikan pondok usang yang hanya layak untuk digunakan oleh Mat Gian untuk menghisap dadah.

Sekolah ini sangat istimewa dalam hidup saya. Semua anak saya belajar di sini. Mereka mempunyai keputusan yang cemerlang kerana guru-guru sekolah ini sangat berpengalaman, berdedikasi serta komited terhadap tugas. Majoriti guru di sekolah ini sangat mementingkan kejayaan anak-anak.

Malangnya, faktor bangunan sekolah uzur di luar bidang kuasa guru dan pentadbir sekolah. Ini mungkin gagal membantu anak-anak yang lemah yang perlukan suntikan keceriaan.

Dalam sesi dialog sebentar tadi, Guru Besar SK Jalan Haji Baki meluahkan rasa sedih beliau terhadap keadaan bilik darjah murid tahun 6. Kebetulan saya hadir untuk memberikan sokongan moral kepada anak saya.

Guru besar berkata air matanya hampir berlinang melihat kekurangan, kerosakan serta kedaifan kelas yang digunakan oleh anak-anak kami untuk belajar. Dia meminta kami para ibubapa membantu membaiki kelas, bergotong royong serta menyumbangkan tenaga dan kewangan bagi tujuan itu. Insya Allah kami akan melakukannya.

Persoalan yang timbul di hati saya ialah apakah kerajaan prihatin pimpinan Perdana Menteri Malaysia sudah tidak mampu menyediakan suasana pembelajaran optima bagi anak-anak kami?

Susah juga jika aspek pembangunan sekolah mahu diletakkan di bahu ibubapa sedangkan setiap tahun Menteri Kewangan berkumandang suaranya di radio, TV dan Youtube mengumumkan dana berbilion-bilion untuk tujuan itu. Apa sudah jadi? Negara kita kaya. Gas dan minyak kita nilainya trillion? Mengapa?


Alasan pihak sekolah

Pihak sekolah berkata keadaan itu tidak dapat dielakkan memandangkan ada makhluk menuntut supaya tanah yang diwakafkan sebagai tapak sekolah itu dikembalikan kepada mereka atau pun dibayar pampasan?

Dunia akhir zaman. Saya bukannya mufti atau ilmuan hukum hakam agama. Mudahan janganlah suatu hari nanti anak-anak atau cucu saya berbuat demikian semata-mata kerana moyang kami dahulu tidak membuat perjanjian hitam putih. Anehnya, saya juga diberitahu waris terdekat pemilik tanah tidak pula membuat tuntutan.

Jika ini tuntutan palsu, pihak berwajib perlu menyiasat dan mendakwa mereka supaya dipenjarakan. Jika benar mereka, biarlah mereka berhadapan dengan Allah suatu hari nanti kerana menuntut tanah yang diwakafkan untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Jika benar tanah itu tidak pernah diwakafkan dan pemiliknya dahulu memang mahukan bayaran setimpal dari kerajaan, semoga kerajaan akan membayar pada yang berhak. Saya ulangi, bayaran hendaklah dibuat kepada individu yang benar-benar berhak. Siasatlah seadilnya kerana waris terdekat pemilik tanah ini masih hidup.

Dilemma Tanah Wakaf

Keadaan itu menurut Guru Besar kelahiran negeri Kedah Darul Aman yang baharu berpindah ke sekolah SK Jalan Haji Baki itu menyukarkan pihak Pejabat Pendidikan Padawan, Sarawak tidak dapat membina bangunan sekolah baharu. Persoalannya, jika bangunan baharu tidak dapat dibina, mengapa bangunan daif sedia ada tidak dipulihkan dengan sempurna? 

Lebih menyayat hati pengakuan Pegawai Pembangunan Pejabat Pelajaran Padawan yang memberitahu Guru Besar bahawa dia tahu segenap ruang dan kerosakan serta masalah yang dihadapi oleh SK Jalan Haji Baki. Anehnya, mengapa tidak dibaiki? Adakah kerana SK Jalan Haji Baki cuma dihuni oleh anak-anak golongan berpendapatan rendah yang sentiasa redha dan bersyukur? 

Mana pemimpin Barisan Nasional yang melaung-laungkan diri sebagai Juara Rakyat? Apakah kerana Kampung Haji Baki dihuni oleh kaum peribumi maka cuma sekolah-sekolah Tionghua yang berhampiran dengan nya sahaja sudah berdiri megah, hebat dan disokong jitu oleh pemimpin Barisan Nasional? Apakah ini faktor yang menyebabkan sekolah daif Tinghua terbakar, lalu bagaikan keajaiban sekolah baharu megah berdiri? Musykil juga kita.

Tiada Kerusi Menjelang Persekolahan?

Saya terkejut apabila Guru Besar memberitahu mereka tidak mempunyai kerusi yang mencukupi menjelang sesi persekolahan baru-baru ini. Mujurlah pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Tuan Haji Shamsudine Pangeran Tambi seorang usahawan berjaya yang dermawan - menyumbangkan kerusi plastik bermutu tinggi untuk kegunaan anak-anak kampung. Semenjak bila pula sekolah SK memerlukan sumbangan peribadi individu untuk melengkapkan keperluannya? Miskin sangat kah Kerajaan Malaysia?

Bahlol sangatkah Guru Besar lama SK Jalan Haji Baki dan Pegawai Pembangunan yang tidak dapat melihat masalah ini lebih awal? Apakah tiada laporan? Kasihan juga Guru Besar baru ini disambut dengan berbagai dugaan.Berdasarkan pengamatan saya dan sikap optimis beliau sewaktu diajukan soalan-soalan panas, SK Jalan Haji Baki kini berada di landasan yang betul dan mempunyai pentadbir yang berwibawa.

Besar harapan penduduk kampung supaya segala kedaifan dan kerosakan di sekolah uzur ini mendapat perhatian sewajarnya daripada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran. Kita tidak mengharapkan sangat Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Pendidikan di Sarawak kerana beliau tiada kuasa atau peruntukan.

Usaha Ikhlas Guru dan PIBG

Kita berasa berbesar hati kerana di awal persekolahan lagi guru-guru di SK Jalan Haji Baki telah mengambil inisiatif untuk mengadakan gotong royong dengan NGO tempatan kerana menyedari kedaifan sekolah ini.

Terima kasih kita ucapkan kepada pihak Yang Di Pertua PIBG SK Jalan Haji Baki yang sentiasa proaktif menjalankan tugas beliau walaupun sering dicemuh masyarakat. Seperti nasib Ketua Menteri Sarawak beliau sudah menjadi Yang Dipertua PIBG sekolah ini sekian lama sehingga jasanya mudah dilupai.

Menyedari kadar pendapatan Ibu Bapa yang rendah, para guru telah menganjurkan dialog menerangkan keperluan untuk mengutip bayaran bagi tujuan mencetak lembaran kerja serta latihan murid-murid. Mereka tahu ramai ibu bapa tidak mampu untuk membeli buku kerja tambahan. namun murid perlukan latih-tubi berterusan untuk mencapai keputusan cemerlang. Kejayaan tidak akan datang bergolek.

Jumlah kutipan pula tidak melebihi wang yang disumbangkan kerajaan. Kerajaan bagi RM100, sekolah cuma minta RM50 untuk membantu anak-anak kami sendiri. Malangnya, saya belum menerima RM100 itu kerana peruntukan yang dihantar ke SK Jalan Haji Baki tidak cukup.

Tidak pasti pula berapa orang yang senasib dengan saya, kebetulan semata-mata agaknya kerana Allah sangat misteri dalam merancang dan memberikan kejayaan, di luar akal fikiran kita. Ketiadaan RM100 itu tidak akan membuat anak saya kelaparan, jangan takut. Saya belum perlu meminta melalui Program Bersamamu TV3.

Terima kasih saya ucapkan kerana suatu rancangan rapi telah diatur oleh pihak sekolah dengan kerjasama PIBG. Ini menunjukkan komitmen serius Rakyat untuk melahirkan insan cemerlang. Malah rekod kehadiran para ibu-bapa ke majlis permuafakatan hari ini juga sangat membanggakan.

Untuk itu, besarlah harapan kita supaya pihak berwajib, khas nya Menteri Pelajaran Malaysia supaya mengambil tindakan segera. Tan Sri Muhyiddin sudah semestinya masih ingat kerana dia pernah ke SK Jalan Haji Baki.

Oh ya, terlanjur bicara. Pengundi di kampung ini khabarnya lebih 1,000 orang. BN Kalah di Batu Kawah kurang 500 undi, khabar tidak rasmi membisikkan bahawa alkisahnya tidak sampai 300 orang pengundi di Kampung ini keluar mengundi. Tepuk dada tanya selera...

- SU
logoblog

Thanks for reading SK Jalan Haji Baki, Kuching Lebih Daif & Goyah

Previous
« Prev Post

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt dan Salam 1Malaysia. Kemana perginya Organasasi JKKK Kampung Haji Baki,Kuching?Demi mencapai wawasan 2020 JKKK perlu mamainkan peranan mereka bagi kepentingan masyarakat kampung tanpa di anak tiri. Telus,Ikalas dan berani berjuang demi masa depan masyarakat khususnya jenerasi Y. Tq msy

Anonymous said...

Terima kasih atas komen sdr Abdu Hakim Bujang. Saya menyokong penuh diatas beberapa cadangan beliau termasuk membayar papmpasan kepada waris yang berhak dan layak menerima wang pampasan.Walau bagaimanapun saya minta sdr Abdul Hakim Bujang jangan membuat tuduhan sebarangan kepada kerajaan BN atau mana2 indivivdu tanpa soal periksa. Kerana bagi kita orang Islam,adalah salah dan berdosa besar menabur fitnah kepada seseorang itu. Ada sebab musabab,mengapa bangunan sekolah tidak dapat dibena dengan segera. JKKK lah yang memainkan peranan,maka itu,saya berharap JKKK kampung Haji Baki wajib menjalankan Tranformasi Pengurusan/pentadbiran dengan mengadakan Mesyuarat Agong dan Pemilihan Ahli JKKK yang baru dengan kadar segera. Melalui JKKK yang aktif,maka sesebuah kampung dapat memaju masyarakat dan kampungnya,namun begitu semua ahli hendaklah benar2 iklas,telus dan rajin dalam mentadbir/menmgurus kampung. Saya mencadangkan agar Kampung Haji Baki mempunyai tiga orang Ketua Kaum,seorang Penghulu dan seorang Konseler sebelum tahun 2020. Sekian,msy