Saturday, January 07, 2012

SK Long Bedian, Baram Mulakan Model Khas Komprehensif K-9

  NR       Saturday, January 07, 2012

KUCHING 5 Jan. - Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bedian, Baram, melakar sejarah apabila memulakan Model Khas Komprehensif K-9 pada sesi persekolahan baharu bermula semalam.

Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam berkata, model itu membolehkan sekolah berkenaan menyediakan pendidikan daripada tahun satu hingga tingkatan tiga.

Katanya, sekolah itu telah mengambil 94 pelajar tingkatan satu yang dibahagikan kepada tiga kelas.

"Para pelajar tingkatan satu tersebut adalah lepasan SK Long Bedian, SK Long Pelutan, SK Long Luteng, SK Long Kevok dan SK Long Wat yang majoritinya adalah kaum Penan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sekolah Model Khas Komprehensif K-9 merupakan inisiatif bersungguh-sungguh Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan pendemokrasian pendidikan dengan menyediakan peluang dan akses pendidikan yang lebih terancang kepada pelajar Orang Asli dan Penan.

Inisiatif tersebut adalah strategi penyelesaian kepada permasalahan merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik, budaya dan sosioekonomi di negara ini.

Sementara itu, Abdillah berkata pada tahun ini 129,793 pelajar di negeri ini akan menduduki peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Justeru, beliau berharap semua semua pihak sentiasa mempunyai sasaran untuk meningkatkan peratusan pencapaian mata pelajaran bagi mengatasi peratus pencapaian peringkat nasional.

Katanya, untuk mencapai sasaran itu, usaha memantapkan kurikulum hendaklah dititikberatkan dan diberi perhatian serius oleh pemimpin sekolah.

"Tahun ini 46,392 calon akan menduduki UPSR diikuti 40,552 calon PMR, 36,250 calon SPM dan 6,599 calon STPM," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SK Long Bedian, Baram Mulakan Model Khas Komprehensif K-9

Previous
« Prev Post

No comments: