Wednesday, January 11, 2012

SMV Sungai Buloh Juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011

  NR       Wednesday, January 11, 2012

Azmi Ujang (tengah) bersama tiga pelajar Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh yang telah dinobatkan sebagai juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SEKOLAH Menengah Vokasional (SMV) Sg. Buloh, Selangor baru-baru ini telah berjaya memenangi tempat pertama pada Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 sebagai sekolah pemenang projek terbaik pertandingan.

SMV Sg. Buloh menewaskan lima buah sekolah lain yang layak ke peringkat akhir melalui projek laman sesawang pembelajaran interaktif atas talian terdiri daripada pengaturcaraan dan alat pembangunan yang menawarkan persekitaran bilik darjah dalam bentuk sukatan pelajaran, nota, forum, kuiz dan penilaian.

Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Maxis, Azmi Ujang berkata, dengan inisiatif pendidikan kepada masyarakat, kami berhasrat untuk menyumbang ke arah membina modal insan yang berpengetahuan, mahir dan inovatif serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

"Program Maxis Cyberkids yang bakal memasuki tahun ke-10nya akan terus menyebarkan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke seluruh pelosok negara serta menyokong seruan kerajaan untuk merapatkan jurang digital di negara ini.

"Kami berharap agar para peserta Cyberkids Maxis akan berkongsi apa yang mereka pelajari semasa di kem dengan ahli-ahli masyarakat mereka seterusnya menjadikan program ini mampu memberi kesan berganda," katanya pada majlis itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, SMV Sg. Buloh membawa pulang hadiah bernilai RM15,000, yang terdiri daripada RM5,000 tunai dan program 'Maxis Cyberkids @ School' bernilai RM10,000 merangkumi Maxis Cloud, latihan dan e-pembelajaran bagi membantu sekolah memajukan lagi idea projek mereka serta mengintegrasikan teknologi ke dalam pembelajaran.
Sementara itu, naib juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Pahang dan tempat ketiga diraih SMK Jelai (Felda), Negeri Sembilan.

Kedua-dua sekolah ini masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 dan RM3,000, bersama-sama dan program 'Maxis Cyberkids @ School' bernilai RM10,000.

Tiga sekolah yang lain iaitu Sekolah Menengah Teknik (SMT) Bkt Mertajam, Pulau Pinang; SMK Tengku Mahmud, Terengganu dan SMK Bukit Rambai, Melaka masing-masing membawa pulang hadiah saguhati bernilai RM1,000.

Menurut Azmi lagi, salah satu aspek yang menarik mengenai cabaran kebangsaan tahun ini adalah pelajar menghasilkan projek yang relevan dengan persekitaran sekolah mereka serta mempunyai potensi mengubah cara pelajar belajar.

"Projek-projek ini melibatkan perkembangan kandungan e-pembelajaran melalui aplikasi sumber terbuka, kurikulum e-pembelajaran untuk pelajar cacat pendengaran, dan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management Syster - LMS).

Sementara itu, pelajar-pelajar SMV Sg. Buloh berkata, kemenangan itu merupakan kejutan bagi mereka kerana persaingan yang begitu sengit dengan projek-projek dari sekolah lain yang begitu menarik sekali.

"Kemenangan ini pasti akan mendorong kami untuk terus menyampaikan ilmu kepada orang lain.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru kami yang berdedikasi dan rakan-rakan sekelas yang merupakan kekuatan yang besar untuk kami, terutamanya apabila projek itu berjalan serentak dengan peperiksaan akhir kami," jelas mereka.

Program Maxis Cyberkids tahun ini turut menyaksikan penyertaan 22 kakitangan Maxis yang mengambil bahagian sebagai fasilitator untuk Kem Maxis Cyberkids.

- Utusan, 9-1-2012
logoblog

Thanks for reading SMV Sungai Buloh Juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011

Previous
« Prev Post

No comments: