Gambar Hiasan - Waktu Rehat di Sekolah
CADANGAN
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya sekolah
mempertimbangkan waktu rehat lebih awal kepada pelajar sangat baik dan
berfaedah. Fenomena kebanyakan pelajar sekolah tidak sempat bersarapan pagi di
rumah atau di mana saja bukan isu baru. Ia lama disedari kebanyakan
pihak.
Tetapi kesedaran ini hanya tinggal kesedaran tanpa ada
apa-apa tindakan diambil untuk mengatasinya. Implikasinya, pelajar di negara
kita melalui proses pembelajaran seharian dalam keadaan perut kosong dan tidak
bermotivasi setiap hari.
Mengikut ahli psikologi Abraham
Maslow (1908-1970), melalui
teori Hierarki Keperluan yang diperkenalkannya (1940-1950), makan minum adalah
keperluan peringkat asas bagi seseorang manusia di samping tempat tinggal,
rehat/tidur, seks dan seumpamanya. Tanpa memenuhi keperluan peringkat asas ini
manusia tidak akan bermotivasi untuk mendapat keperluan lain.
Dalam konteks ini, secara mudah seorang pelajar yang dalam
keadaan lapar tidak akan berminat untuk memberi perhatian kepada perkara lain
(untuk mengikuti pelajaran contohnya) kerana motivasi dirinya pada masa ini
hanya untuk mendapatkan makan dan minum bagi memenuhi keperluan yang asas ini.
Ini berasaskan teorinya yang menegaskan manusia bermotivasi apabila dapat
memenuhi setiap peringkat keperluan diri.
Bayangkan bertapa baiknya seorang pelajar yang dapat belajar
dengan penuh minat, bermotivasi, mudah memahami pelajaran, cergas dan aktif
dalam proses pembelajaran kerana mereka belajar dalam keadaan keperluan asas
makan minum sudah dipenuhi.
Sebaliknya
segala potensi diri yang berharga tidak dapat dipupuk oleh guru dan akan
terabai begitu saja apabila mereka dipaksa belajar dalam keadaan keperluan asas
makan dan minum masih lagi belum dipenuhi.
Justeru,
cadangan ini harus diambil serius dan dilaksanakan segera dengan cara mengubah
suai jadual pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid mendapat
keperluan asas makan minum sebelum mereka memulakan proses pembelajaran. Saya
yakin jika perkara ini dapat dilaksanakan dengan penuh kesedaran oleh semua
warga pendidikan, bidang pendidikan negara akan mampu melahirkan warga negara
yang lebih berjaya, maju dan sejahtera di masa akan datang.
HASSAN
SALLEH,
Kuala
Terengganu.
Berita
Harian Online: 6 Januari 2012
No comments:
Post a Comment