Sunday, January 08, 2012

Tiga Beradik Melayu Jadi Rakan Sekelas SJKC Aik Hua di Pulau Terpencil

  NR       Sunday, January 08, 2012

DARI kanan: Mohd Firdaus Khuri, Radiatul Adawiyah Khuri, dan Nurhidayatul Waheeda Khuri (tangan sebelah kiri kudung) memulakan sesi persekolahan walaupun hanya mereka bertiga sahaja yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Aik Hua,Pasir Hitam, Taiping, Perak, semalam.




BUKIT GANTANG 4 Jan. – Demi pelajaran, tiga murid Melayu sanggup menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang terletak di Pulau Pasir Hitam - sebuah pulau terpencil dekat sini.

Radiatul Adawiyah Khuri, 12, bersama dua adiknya, Mohd. Firdaus, 9, dan Nurhidayatul Waheeda, 7, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini, kelihatan ceria meskipun hanya mereka bertiga pelajar di sekolah itu.

Ini kerana tiga beradik itu menjadi rakan sekelas kerana tiada murid lain lagi di sekolah tersebut.

Malahan, mereka yang tinggal bersama ibu mereka, Hafsah Najwa Abd. Mutalib, 49, merupakan antara empat kanak-kanak yang menghuni pulau tersebut yang majoritinya penduduknya tidak sampai 100 warga emas berketurunan Cina.

Kedatangan mereka ke sekolah itu bermula apabila Hafsah Najwa tertarik dengan tawaran biasiswa oleh sekolah berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu.

Keputusan ibu tunggal dari Pulau Pinang untuk menghantar tiga anaknya itu sekali gus menyelamatkan sekolah Cina tersebut daripada ditutup disebabkan ketiadaan pelajar.

Berdepan dengan masalah kewangan, ibu kepada 10 orang anak itu tidak sesekali menyesal dengan tindakan membawa ketiga-tiga anaknya ke situ kerana pihak sekolah menawarkan elaun sara hidup sebanyak RM150 sebulan bagi seorang pelajar.

“Saya tidak terdaya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak setelah berpisah dengan suami tujuh tahun lalu. Bayangkan sekiranya tambang bas sekolah bagi seorang adalah RM60 sebulan, bagaimana saya hendak menanggung tiga anak saya yang bersekolah rendah?

“Itu belum ditambah lagi dengan dua anak di sekolah menengah, seorang di Politeknik Seberang Perai dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata Hafsah Najwa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Radiatul Adawiyah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, mengakui selesa untuk belajar di sekolah tersebut.

Dia dan adiknya, Mohd. Firdaus juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan hanya dua orang guru yang bertugas di sekolah tersebut kerana menguasai sepenuhnya bahasa Cina melalui pertuturan dan penulisan.

Adik bongsunya, Norhidayatul Waheeda yang mengalami kecacatan di tangan kirinya sejak lahir, juga seronok untuk memulakan alam persekolahan di sekolah berkenaan yang menggunakan tenaga solar untuk kemudahan komputer.
“Dahulu, sebelum berpindah ke pulau ini, kami bersekolah di SJKC Poay Wah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Kesemua 10 adik-beradik kami menerima pendidikan di sekolah Cina,” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Bukit Gantang, Datuk Ho Cheng Wang yang kebetulan hadir melawat tiga murid itu di sekolah berkenaan, turut menyumbangkan bantuan wang tunai RM150 setiap seorang bagi tempoh setahun.

- Utusan, 4 Jan 2012
logoblog

Thanks for reading Tiga Beradik Melayu Jadi Rakan Sekelas SJKC Aik Hua di Pulau Terpencil

Previous
« Prev Post

No comments: