Saturday, January 21, 2012

Utamakan Guru Lama Di Luar Balik Ke Negeri Asal

  NR       Saturday, January 21, 2012
SAYA amat tertarik dengan kandungan berita dalam Berita Harian bertarikh 16 Januari 2012 (Isnin) halaman 10, yang bertajuk ‘Tambah Guru Bahasa Inggeris (negeri Terengganu)’.

Permasalahan ketandusan guru Bahasa Inggeris yang amat ketara di negeri Terengganu telah disuarakan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman, salah seorang EXCO kerajaan Negeri Terengganu benar-benar mengundang rasa pelik dan terkejut.

Hal demikian kerana sekiranya permasalahan itu benar-benar berlaku, mengapakah permohonan pertukaran saya guru opsyen Bahasa Inggeris ke Terengganu Sesi Januari 2012 tidak berjaya? Kalau diambil kira faktor lama berkhidmat, saya rasa saya boleh dikategori sebagai guru layak berpindah kerana telah berkhidmat di Johor 14 tahun.

Ironinya, ada dalam kalangan kami yang berjaya bertukar ke Terengganu walaupun baru berkhidmat di negeri terakhir tidak sampai 10 tahun, bahkan ada yang tidak sampai lima tahun, tetapi berjaya dalam permohonan pertukaran mereka.

Saya melihat bahawa dalam hal ini, layanan ‘double standard’ telah diamalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pelajaran terhadap guru seperti saya. Perkara yang memualkan ini seolah-olah menjadi penyakit yang membarah seperti tiada kesudahannya.

Hendak dikatakan yang saya tidak pernah memberi khidmat bakti luar kepada Pejabat Pelajaran Daerah, JPN atau kementerian sehingga mereka membakul-sampahkan permohonan saya sesungguhnya terlalu dusta. Hal demikian kerana pembabitan saya dengan PPD, JPN dan kementerian umpama ‘Awang Selamat’ dalam Hikayat Awang Sulong Merah Muda yang tidak pernah ingkar untuk bertugas di luar waktu pembelajaran sekiranya dipanggil atau diarahkan.

Saya mohon kepada kementerian, JPN Terengganu dan juga kerajaan Negeri Terengganu agar membuat mekanisme yang mampu memberi keadilan kepada guru yang telah lama berkhidmat di luar negeri Terengganu yang memohon untuk bertukar ke Terengganu. Guru-guru yang baru ‘posting’ hendaklah dihantar ke luar negeri dan guru senior perlulah ditukar pulang ke Terengganu (terutama guru Bahasa Inggeris). 

GURU BI,
Johor Bahru 



- BH, 20 Jan 2012
logoblog

Thanks for reading Utamakan Guru Lama Di Luar Balik Ke Negeri Asal

Previous
« Prev Post

No comments: