Wednesday, February 29, 2012

180 Penuntut Dari 20 IPT Sertai Jelajah Aman 14 Hari


ADHAM Baba (tiga kiri) melakukan pelepasan konvoi Jelajah Aman Kampus Mahasiswa di Felda Bukit Besar, Kulaijaya, baru-baru ini.

KULAIJAYA 28 Feb. – Seramai 180 penuntut dari 20 institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai Jelajah Aman Kampus Mahasiswa Bersama Masyarakat selama 14 hari, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Mohd. Shahar Abdullah berkata, program yang menjelajah ke semua negeri itu turut disertai 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat di setiap destinasi mereka singgah.

“Program yang mendapat kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) ini dianjurkan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya mereka tahu bahawa kampus kita aman dan menafikan suara minoriti mahasiswa yang membenci kerajaan dan kepimpinan negara.

“Kita berharap menerusi program ini peserta akan lebih peka mengenai isu-isu semasa,” katanya semasa ditemui semasa konvoi tersebut singgah di Felda Bukit Besar di sini.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan bersama masyarakat setempat termasuk gotong-royong membersihkan tanah perkuburan, sumbangan hamper kepada penduduk yang kurang bernasib baik, ceramah motivasi kepada pelajar serta mengedarkan risalah sebagai sokongan padu mahasiswa serta NGO kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alaudin Felda Bukit Besar itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Pada majlis itu, rombongan tersebut turut menyampaikan sumbangan hamper makanan kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Felda Bukit Besar.

- Utusan 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...