Wednesday, February 29, 2012

220 Pelajar Kolej MCS Terima Netbook Percuma


Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) menyerahkan komputer netbook kepada salah seorang pelajar Kolej MCS Banting pada majlis di Kuala Langat, baru-baru ini.

KUALA LANGAT 28 Feb. - Keriangan jelas terpancar pada wajah 220 pelajar Kolej MCS Banting di sini apabila mereka terpilih sebagai penerima netbook percuma sumbangan pusat pengajian tinggi swasta tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej MCS, Dr. R. Ravinthiran berkata, dalam tempoh tiga tahun, kolej tersebut telah menyumbangkan sebanyak 460 unit netbook secara percuma kepada para pelajarnya yang kurang berkemampuan.

"Pihak kolej amat peka dengan kepentingan penggunaan komputer pada masa kini," katanya pada majlis penyerahan netbook tersebut di kampus kolej berkenaan baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan netbook itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Hadir sama Pengarah Kolej MCS, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh

Ravinthiran berkata, Kolej MCS juga menjalankan beberapa penajaan antaranya program RM1 juta 1Malaysia iaitu biasiswa dalam bentuk elaun bulanan dan penginapan percuma sepanjang pengajian.

Katanya, kemudahan tersebut diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 dengan setakat ini sebanyak 150 pelajar mendapat kemudahan tersebut.

Tambah beliau, bagi penajaan program pendidikan sepanjang hayat, Kolej MCS turut memperuntukkan RM3.6 juta bagi menyalurkan elaun bulanan sebanyak RM300 kepada 400 pelajar.

"Program tersebut dikhaskan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA), International Business," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...