Thursday, February 23, 2012

35% Guru Tempatan di Sarawak Akan Dicapai Dalam Tempoh 3 Tahun


Sasaran 35 peratus guru pelatih tempatan mengajar di negeri ini akan tercapai tiga tahun lagi: Wee

MIRI: Kementerian Pelajaran yakin usaha mereka untuk mengambil 35 peratus guru pelatih tempatan bagi mengajar di negeri ini akan tercapai dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu, kementerian itu kini dalam usaha mengambil guru-guru pelatih tempatan untuk diserapkan ke institut-institut penguruan di seluruh negeri dan program pengambilan tersebut sudah bermula sejak awal tahun ini.

“Kita yakin dalam tempoh tiga tahun ini (bermula 2012), kita akan mampu mencapai sasaran untuk melahirkan 35 peratus guru-guru tempatan untuk bertugas di sekolah-sekolah di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau memberitahu demikian semasa sidang dialog bersama wakil-wakil daripada 23 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di Miri, Batu Niah, Marudi, Limbang dan Lawas, di sebuah hotel di sini semalam.

Mengenai dialog tersebut, Wee memberitahu bahawa lawatannya itu bagi memperjelaskan mengenai pengagihan peruntukan berjumlah RM100 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk sekolah-sekolah bantuan kerajaan aliran bahasa Cina atau SJK di seluruh negara, pada tahun lepas.

Bagi memastikan peruntukan itu dimanfaatkan dengan sebaiknya, beliau berkata peruntukan hanya akan diberi kepada sekolah yang benar-benar memerlukan pembaikan segera terutama yang telah usang dan dimamah anai-anai.

“Selain itu sekolah-sekolah yang bangunannya banyak mengalami kerosakan termasuk bumbung bocor, juga akan diberikan peruntukan.

“Tetapi peruntukan tidak diberi untuk sekolah-sekolah bagi tujuan pembinaan semula (bangunan sekolah), ia hanya untuk memperbaiki sahaja, agar sekolah menjadi lebih selesa untuk belajar,” tambahnya.

Sementara itu, hasil daripada dialog dengan wakil sekolah itu, Wee memberitahu bahawa kementerian itu bercadang mengagihkan lebih RM1 juta kepada sekolah-sekolah SJK di utara negeri ini, bagi tujuan pembaikan terutama sekolah usang yang dimamah anai-anai.

Pada pilihan raya negeri yang lepas, Sarawak telah diberi peruntukan berjumlah RM20 juta bagi tujuan yang sama.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting yang mewakili beliau dan beberapa ahli jawatankuasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bahagian Miri.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...