Wednesday, February 29, 2012

7 Universiti di Pantai Timur Sertai Program Permuafakatan Jalinan Sekolah Kluster Kecemerlangan Dengan IPTA


KOTA BHARU  – Sebanyak tujuh universiti di Pantai Timur telah menyertai Program Permuafakatan Jalinan Sekolah Kluster Kecemerlangan dengan institusi pengajian tinggi awam (SKK-IPTA) baru-baru ini.
Program itu bertujuan mengenal pasti permasalahan masyarakat luar bandar seterusnya mencari penyelesaian untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Penyelaras program, Dr. Wan Pauzi Wan Ibrahim berkata, universiti terlibat ialah Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang dan UiTM cawangan Pahang.
Katanya, di bawah program itu universiti terlibat akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam menganjurkan program dan perkhidmatan komuniti.
“Misalnya, projek yang dilaksanakan USM melibatkan kepakaran dalam bahasa Inggeris dan Sains, manakala UMK terlibat dalam program kebudayaan manakala UiTM Machang pula dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutup Program Penyelidikan dan Kesedaran Otak: 1Malaysia 2010/2011 (B.R.A.I.N) di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Kampus Kesihatan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Neurosains PPSP, Prof. Jafri Malin Abdullah; Penolong Kanan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Ahmad Tajab dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Seri Dewi Mohd. Ibrahim.
Wan Pauzi yang juga Timbalan Dekan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM memberitahu, tiga sekolah telah bekerjasama dengan USM dalam program pemerkasaan bahasa Inggeris dan Sains iaitu Maktab Sultan Ismail, Sekolah Kebangsaan Zainab 2 dan Sekolah Menengah Sains Machang.
Selain itu katanya, USM juga terlibat dalam program ‘Penyelidikan Semasa Cuti’ membabitkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diadakan dengan kerjasama doktor Malaysia berpangkalan di Melbourne, Australia.
Menurutnya, program tersebut diadakan dalam usaha mendekatkan warga universiti dengan masyarakat. – Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...