Friday, February 24, 2012

77 Pelajar SMS Muzaffer Syah, Melaka Dikuarantin Influenza


MELAKA – Sebanyak 67 pelajar Sekolah  Menengah Sains Muzaffar Syah,  Ayer Keroh di sini  kini dikuarantin di bangunan berasingan sekolah  berasrama penuh tersebut kerana dijangkiti  penyakit serupa influenza (ILI).
Kesemua mereka iaitu 29 pelajar perempuan dan  38 lelaki dikuarantin sejak dikesan dijangkiti  penyakit itu pada malam Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan  Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata,  keadaan di sekolah terbabit adalah terkawal dan  setakat ini semua pelajar yang dijangkiti  menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
“Malah, pada awalnya sebanyak 77 pelajar  dijangkiti, namun semalam 10 daripadanya iaitu  lapan pelajar perempuan dan dua lelaki tidak lagi  dikuarantin dan  dibenarkan pulang ke asrama.
“Manakala 67 lagi pelajar yang masih mengalami   ILI  diasingkan di sebuah bangunan dengan  rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan  oleh para doktor dan kakitangan Jabatan  Kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita  selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa  supaya tidak panik membawa keluar anak  masing-masing dari sekolah tersebut kerana  pengurusan kesihatan  ILI  adalah lebih baik  dijalankan di situ.
“Di sini, terdapat doktor dan kakitangan perubatan  yang bertugas secara berjadual bagi memberi  rawatan dan ubat di samping kebersihan sekolah  yang terjamin,”katanya.
Tian Loo menambah, punca bagaimana jangkitan  tersebut boleh merebak juga masih belum  diketahui dan sedang disiasat
“Kita sedang menunggu laporan daripada  hospital. Saya sudah tubuhkan satu unit khas  untuk pantau perkembangan penyakit setiap hari,”  katanya. – mynewshub.my (23 Feb 2012)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...