Thursday, February 23, 2012

90 Pelajar Miskin & Anak Yatim Terima Sumbangan Masyarakat Malaysia di Ireland


Ramzan Ramza Ramli menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar kurang berkemampuan di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 21 Feb. - Seramai 90 pelajar miskin dan yatim dari empat jajahan di negeri ini terpilih menerima sumbangan daripada masyarakat Malaysia di Belfast, Ireland berjumlah sebanyak RM9,000.

Antara yang menghulurkan sumbangan ialah Persatuan Postgraduate Malaysia Ireland Utara (MyPNI), Kelab Melayu Universiti Queen (QMC) dan Pertubuhan Penuntut Malaysia Ireland Utara (MSSNI).

Sumbangan tersebut diperolehi melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh ketiga-tiga badan terbabit di Belfast, Ireland turut mendapat kerjasama Sekretariat Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan serta Putra Venture Limited.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di sebuah hotel di Pengkalan Chepa di sini semalam bersempena Majlis Tautan Kasih Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPIM) Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusinya, Datin Bi Samihah Mohd. Salleh.

Presiden MyPNi, Ramzan Ramza Ramli dalam ucapannya berkata, pihaknya dengan beberapa pertubuhan masyarakat Malaysia di Belfast telah menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk mengumpul sumbangan bagi membantu golongan miskin di negeri ini.

Beliau berkata, antara program yang diadakan ialah Program Kebajikan United Kingdom-Malaysia-Ireland dan 1Malaysia Fest Belfast 2011.

"Komuniti Malaysia di Ireland Utara bersetuju menyerahkan wang berkenaan kepada LKPIM Kelantan untuk disampaikan kepada pelajar terlibat. Sumbangan ini sebagai galakan untuk mereka berusaha lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya.

Ramzan Ramza berkata, pelajar di negeri ini perlu ingat bahawa peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara sentiasa terbuka asalkan mereka berusaha dengan gigih.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...