Wednesday, February 29, 2012

Kementerian Pelajaran Peruntuk RM114,000 Baiki Bumbung SJK (T) St. Helier


VS Mogan keluar dari kawasan sekolah selepas melawat keadaan bumbung bangunan SJK Tamil St. Helier, di Jempol, semalam.

JEMPOL 28 Feb. - Bumbung sebuah bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil St. Helier dekat sini yang hampir roboh dan tidak selamat digunakan akan dibaiki segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk VS Mogan berkata, Kementerian Pelajaran melalui Jabatan Pelajaran negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM114,000 bagi membaiki bumbung serta tiang yang rosak tersebut.

"Bangunan yang menempatkan beberapa bilik darjah itu telah dibina pada 2002 oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

"Sejak beberapa tahun lalu, struktur tiang pada bumbung berkenaan mula rosak dan menyebabkan berlaku anjakan pada bumbung, yang kini dilihat tidak selamat untuk digunakan oleh pelajar di sekolah ini," katanya ketika melawat sekolah itu dekat sini, semalam.

Mogan berkata, bumbung bangunan yang menempatkan 120 pelajar itu kini menunggu masa untuk roboh jika tidak dibaiki segera.

Beliau yang melawat sekolah berkenaan petang semalam turut meninjau keadaan bumbung di salah satu bangunan itu dan mengesahkan ia tidak boleh digunakan buat masa ini.

"Saya telah minta pihak sekolah tidak lagi menggunakan bangunan tersebut dan menempatkan pelajar dalam makmal komputer sehingga ia dibaiki dan disahkan selamat," tegasnya.

Mogan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri berkata, pemeriksaan terhadap semua struktur bangunan di sekolah itu akan dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

''Jika kita dapati bangunan itu juga berisiko, maka kita akan memohon supaya dibina bangunan baru yang lebih selesa," jelasnya.

Pada masa yang sama, Mogan meminta ibu bapa supaya tidak panik dan dapat terus menghantar anak mereka bersekolah seperti biasa.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...