Thursday, February 23, 2012

KPM Gagal Kuatkuasa Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah Punca Wujud Premis Luar


PENJAJA kecil terus mengambil kesempatan menjual makanan tidak berkhasiat di luar sekolah. Menjadi tumpuan murid di luar kawasan sekolah

KEGAGALAN Kementerian Pelajaran menguatkuasakan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan didakwa punca penjaja kecil mengambil kesempatan menjual makanan tidak berkhasiat di luar premis.

Tinjauan di sekitar Petaling Jaya serta Subang Jaya (Selangor) dan Bangsar (Kuala Lumpur) mendapati penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat termasuk minuman berkarbonat atau makanan ringan masih berleluasa.

Berdasarkan perbualan dengan beberapa penjaja, ada yang secara terang-terangan mengakui menjualnya kerana juadah itu turut diperoleh di kantin sekolah dan sebagai daya tarikan mereka menjualnya pada harga lebih murah.

Ketua Penolong Pengarah (Hal-Ehwal Murid), Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur, Mohd Amir Abdu Ghani, berkata penjualan makanan di luar sekolah masih berleluasa dan membimbangkan pihaknya.

Katanya, mereka boleh mengawal penjualan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah, tetapi sukar membanteras perniagaan di luar kawasan itu kerana penguasaan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Paling membimbangkan keadaan itu menyebabkan berlaku pengambilan makanan tidak selamat dan ada kes murid keracunan,” katanya diminta mengulas penjualan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Petaling Utama, Selangor, Abu Omar Mos, mengharapkan PBT bertindak tegas membanteras penjualan bagi mengelakkan daripada terus berleluasa.

“Kita mahu murid menikmati makanan berkhasiat untuk menjadikan mereka cerdas dan cergas. Makanan diniagakan di luar sekolah dikhuatiri tercemar dan menjejaskan kesihatan,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman, Petaling Jaya, Datin Noorul-Aini Ambok, berkata pihaknya sudah melaporkan aktiviti itu kepada Kementerian Kesihatan namun diminta merujuk kepada PBT.

Katanya, pihak sekolah bimbang dikhuatiri pengambilan makanan daripada peniaga di luar kawasan sekolah boleh menyebabkan berlaku keracunan dan ibu bapa akan menyalahkan pihak sekolah kerana tidak mengawal keadaan itu.

Larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Makanan berkenaan termasuk burger, sosej, nuget, teh dan kopi, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Berita Harian Online: 22 Februari 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...