Thursday, February 23, 2012

Program Bicara Tokoh Bertajuk Mahasiswa Pemangkin Perpaduan Bangsa di UiTM


HAMZAH Zainuddin bersama sebahagian mahasiswa selepas program Bersama Tokoh di UiTM Kampus Khazanah Alam, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 21 Feb. – Mahasiswa perlu bijak menganalisis sesuatu isu dibangkitkan oleh pihak tertentu khususnya pembangkang bagi mengelakkan mereka terjerat dengan agenda politik jalanan yang merugikan bangsa dan negara.

Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pembangkang memang sengaja memperalatkan mahasiswa untuk mencetuskan pelbagai isu bagi menggugat kredibiliti kerajaan.

Katanya, sebagai contoh, isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimainkan oleh pembangkang untuk meracuni fikiran mahasiswa supaya ada gerakan menghapuskannya.

“Apa akan jadi kepada mahasiswa jika masa mereka lebih kepada memenuhi agenda politik pembangkang sehingga mengabaikan pencapaian akademik.

“Sedangkan ada mahasiswa diterima masuk untuk meneruskan pengajian hanya berbekalkan kepada keputusan ihsan akademik yang sekadar cukup makan sahaja,” tegas beliau.

Hamzah berkata demikian pada Program Bicara Tokoh bertajuk Mahasiswa Pemangkin Perpaduan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Rektor dan Timbalan Rektor UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman.

Hamzah meminta para mahasiswa menumpukan perhatian kepada pengajian terlebih dahulu daripada sibuk memikirkan untuk memansuhkan AUKU.

Menurut beliau, apabila mereka menamatkan pengajian kelak, majikan akan memfokuskan kepada kriteria graduan berkredibiliti, keputusan akademik cemerlang dan rekod peribadi yang bersih.

Katanya, AUKU sangat relevan sebagai garis panduan kepada mahasiswa kerana setiap peraturan yang dibuat bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...