Wednesday, February 29, 2012

Persatuan Alumni SMK Tengku Bariah Daftar Ahli RM60 Seumur Hidup


KUALA TERENGGANU - Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah menyasarkan sekurang-kurangnya mampu mencapai keahlian sehingga 1,000 bagi tempoh tiga tahun akan datang iaitu sehingga 2015.

Yang Dipertua Persatuan Alumni SMKTB, A Razak Mat Amin berkata, sehubungan dengan itu juga pihaknya kini mempermudahkan proses pendaftaran keahlian dengan hanya membayar RM60 sekali seumur hidup iaitu ketika mendaftar bukan sebagaimana sebelum ini iaitu setiap tahun.

“Persatuan Alumni ini baru ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu, dengan keahlian yang ada buat masa ini 200 orang.

“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan bekas pelajar agar dapat mendaftar sebagai ahli kerana inilah pendekatan terbaik memastikan hubu-ngan antara alumni dapat dieratkan,” katanya.

Katanya, bermula 1961 sehingga 2011, SMK Tengku Bariah sudah melahirkan lebih kurang 25,000 pelajar.

“Ramai bekas pelajar sudah pun menjadi tokoh korporat dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

“Justeru, melalui persatuan alumni ini juga, kita merancang mengadakan pelbagai aktiviti termasuk hari keluarga dan lawatan serta menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan sekali gus mampu menjaga kebaji-kan ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Amal Jubli Emas dan Pelancaran Tabung Kecemerlangan dan Kebajikan SMK Tengku Bariah, di Primula Beach Hotel, di sini, malam semalam yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 500 hadirin.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman yang turut menyumbangkan RM5,000 kepada tabung tersebut sekali gus sebagai galakan dan motivasi kepada persatuan.

A Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malam Amal Jubli Emas SMK Tengku Bariah berkata, jumlah keseluruhan sumbangan diterima bagi mengisi tabung berkenaan pada majlis tersebut melebihi RM40,000 dan majoriti penyumbang adalah bekas pelajar yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.

- SH, 28 Feb

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...