Wednesday, February 29, 2012

Prasarana 81 Kem PLKN di Seluruh Negara di Tahap Baik


KUALA KRAI – Prasarana 81 kem Program Latihan Khidmat negara (PLKN) di seluruh negara berada pada tahap baik, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Abdul Hadi berkata ini berdasarkan kaji selidik ke atas 10,300 daripada 70,000 pelatih pada tahun lepas, yang mendapati mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan pengusaha kem PLKN di seluruh negara.

“Hasil kajian tersebut mendapati 83.28 peratus pelatih telah meletakkan kategori memuaskan terhadap prasarana yang ada di setiap kem PLKN.

“Bagi saya, 83 peratus adalah baik, namun jika dapat 100 peratus memang bagus,” katanya pada Majlis Kesyukuran di Kem PLKN Batu Jong, di sini Selasa.

Abdul Hadi berkata antara perkara asas yang dinilai dalam kaji selidik itu ialah keselesaan persekitaran, keselesaan bilik kelas, kemudahan bekalan air dan elektrik, keselamatan peralatan latihan, keselamatan di kem serta bilik rawatan dan kemudahan perubatan.

Abdul Hadi berkata kajian tersebut akan dijadikan penanda aras pada peringkat kebangsaan dan penting kepada pihak jabatan untuk melihat tahap perkhidmatan yang diberikan kepada pelatih.

“Ia juga akan dibentangkan kepada kementerian untuk penambahbaikan pada masa depan dan saya berharap agar 81 kem itu dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata Kem PLKN Batu Jong dipilih sebagai kem terbaik di ZON G membabitkan enam buah kem di Kelantan dan Terengganu.

Katanya ia dipilih berdasarkan pengurusan prasarana, jurulatih serta sajian makanan yang terbaik pada peringkat zon tersebut. – BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...