Wednesday, February 22, 2012

Prof. Dr. Wahid Dilantik Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTHM


BATU PAHAT 21 Feb. - Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Wahid Razzaly dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) universiti itu.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 6 Februari lalu hingga 5 Februari 2015 bagi menggantikan Prof. Dr. Rugayah Mohamed yang telah tamat tempoh lantikan.

Menurut kenyataan UTHM, Wahid yang juga Ketua Perunding Utama dalam Projek Pembangunan Latihan Vokasional bagi Jordan yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Dunia, pernah memegang jawatan Dekan Pusat Pembangunan Akademik yang melibatkan pembangunan program akademik baharu serta memastikan penjaminan kualiti program-program itu.

Wahid juga pernah bertugas sebagai Ketua Jaminan Kualiti dan diiktiraf sebagai Ketua Audit MS ISO 9000:2001 selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam di Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Setelah menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam di University of Swansea, United Kingdom (UK), beliau melanjutkan pengajian dalam Ikhtisas Pendidikan Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum mengikuti Sarjana Kejuruteraan Lebuh Raya dan Pengangkutan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau meneruskan pengajian di peringkat kedoktoran dalam Pendidikan Kejuruteraan di University of Manchester, UK sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar, Politeknik Port Dickson dan di Bahagian Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti selama 17 tahun sebagai pensyarah dan juga Timbalan Pengarah.

Wahid mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam pembelajaran dan pengajaran dalam bidang kejuruteraan awam serta pendidikan teknik dan vokasional.

Di samping pengajaran dan penyelidikan, Wahid juga aktif menjadi konsultan terhadap beberapa projek di dalam dan luar negara terutama dalam pembangunan program akademik, jaminan kualiti dan standard kelayakan.

Beliau dijemput sebagai penilai di beberapa persidangan dan jurnal pendidikan serta merupakan ahli aktif Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal Antarabangsa UNESCO-UNEVOC.

Sumber: Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...