Friday, February 10, 2012

RM15 Juta Untuk 150 Usahawan Kavaran @ Business On Wheel


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil mendengar penerangan mengenai Caravan UniMAP Techno Kitchen daripada Kamarudin Hussin (kiri) di Kangar, semalam.

KANGAR 8 Feb. - Technopreneur@Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sdn. Bhd. dengan usahasama SME Bank menyediakan dana Tabung Usahawan Siswazah berjumlah RM15 juta untuk 150 usahawan karavan atau business on wheel pada tahun ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Hussin berkata, tabung usahawan merupakan skim yang terbaik di pasaran khusus untuk membantu graduan lulusan universiti berdikari dengan memilih menjadi usahawan.

“Dengan bantuan ini, Technopreneur@UniMAP Sdn. Bhd. akan menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan siswazah,” katanya selepas majlis perasmian Bangunan Pusat Pengajian Inovasi dan Teknousahawan (PPIPT) dan pelancaran Business On Wheel UniMAP di Blok B, PPIPT, Pusat Perniagaan Pengkalan Jaya di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP berkenaan menyempurnakan majlis itu.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah yang juga Pro-Canselor UniMAP.

Kamaruddin berkata, projek business on wheel di bawah Technopreneur@UniMAP akan menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh.

“Usahawan yang berminat menyertainya tidak perlu gusar kerana terdapat pelbagai bantuan dalam bentuk latihan, sokongan perniagaan dan khidmat mentor dari syarikat yang telah berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Jelasnya, ia bermula dengan program pemilihan usahawan siswazah on wheels dengan menggunakan sistem biometrik bagi menentukan minat siswazah dalam industri perniagaan.

Kamarudin berkata, usahawan kemudiannya akan disalurkan ke dalam perniagaan terpilih termasuk pemilihan produk berjenama di bawah skim francaisor Perbadanan Nasional Bhd. (PNS).

Katanya, penuntut kejuruteraan UniMAP akan menyumbang kepakaran mereka dengan mereka bentuk perniagaan karavan mengikut produk yang dijual.

Beliau berkata, lokasi dan lesen perniagaan akan disediakan di kawasan waterfront terpilih.

Sesiapa yang berminat boleh mendaftar secara atas talian menerusi laman web http://technopreneur.unimap.edu.my atau menghubungi pejabat Tecnoprenuer@UniMAP Sdn. Bhd. di Blok B, Inkubator PPIPT, Pusat Perniagaan Pengkalan Jaya di sini.

- Utusan

No comments: