Thursday, February 23, 2012

Sekolah Agama, Cina, Mubaligh, Tamil Terima Peruntukkan RM100j Dari Kerajaan Pusat


KOMITED: Wee (duduk tengah) sambil diperhatikan Vincent Lau (duduk kiri) dan Wong (duduk kanan) kelihatan mencatatkan sesuatu ketika mendengar masalah daripada salah seorang guru pada sesi dialog bersama para guru sekolah Cina di wilayah tengah di Sibu, semalam.

SIBU: Sekolah dalam aliran agama Islam, Cina, Mubaligh dan Tamil di negara ini masing-masing akan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta dari kerajaan pusat, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

“Empat kategori sekolah itu terdiri daripada sekolah aliran agama Islam, Cina, Mubaligh dan Tamil di negara ini masing-masing akan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta untuk setiap kategori bagi tujuan membaik pulih dan pembangunan sekolah.

“Peruntukan itu akan dikeluarkan pada bulan depan dan senarai nama sekolah yang menerima juga akan diumumkan pada masa yang sama,” ujarnya.

Jelasnya, peruntukan terbabit telah diluluskan seperti dalam belanjawan tahun lalu dan sekarang pihaknya masih dalam proses me- nyusun senarai-senarai sekolah yang menerima sebelum meng-umumkannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas sesi dialog bersama para guru sekolah Cina di wilayah tengah yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama dalam sesi dialog tersebut ialah Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Temenggung Vincent Lau Lee Ming dan Pengerusi Gabungan Lembaga-lembaga Pengurusan Sekolah-sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Sibu dan Kapit Hu Siew Liong.

Beliau berkata, kementeriannya akan memberikan peruntukan berdasarkan keperluan sesebuah sekolah dan pihaknya akan mengambil berat tentang soal keselamatan dan keselesaan di semua sekolah di negara ini.

“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak meminggirkan mana-mana sekolah di negara ini dan diharap pihak pembangkang tidak mempertikaikan sumbangan kita ini.

“Inilah tanda usaha kerajaan yang sentiasa membantu rakyat sekali gus memberikan pembangunan yang secukupnya.

“Dalam pada itu, KPM akan terus memantau setiap keadaan sekolah di negara ini demi keselamatan dan keselesaan pelajar yang sangat diberi keutamaan,” tegasnya.

Bagi memastikan keadaan tersebut, Wee turut memberitahu bahawa kementeriannya akan sentiasa bekerjasama dengan pemimpin politik bagi memantau dan mengenal pasti setiap masalah yang dihadapi oleh sesebuah sekolah.

Ini penting ujarnya, bagi membantu kementeriannya mengatasi setiap masalah yang dihadapi oleh sesebuah sekolah.

Menyentuh mengenai sesi dialog itu, beliau menjelaskan ia merupakan pertemuan dengan pihak sekolah bagi tujuan membincangkan masalah-masalah yang dihadapi.

“Pihak sekolah akan mengemukakan masalah yang dihadapi dan pihak saya akan cuba menyelesaikannya dengan pemberian peruntukan yang disediakan.

“Saya ingin mengumumkan bahawa negeri Sarawak menerima peruntukkan yang paling banyak berbanding negeri-negeri lain dengan jumlahnya sebanyak RM57 juta.

“Di bahagian Sibu sahaja telah mendapat RM10 juta dan saya berharap selepas ini segala kesulitan yang dihadapi oleh sesebuah sekolah akan dapat diatasi dengan peruntukan yang diberikan itu,” tambah beliau.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...