Tuesday, February 28, 2012

SK Nanga Klassen Terpilih Terima Sumbangan Kelab Rotary Kuching



SIMBOLIK...Juergen bersama Abel Chieng menunjukkan pose menunggang basikal bersama seorang penerima sambil disaksikan oleh David (empat kiri) dan Farhana (kanan sekali) pada majlis itu baru-baru ini.

TERIMALAH... Juergen menyerahkan papan pemeriksaan rabun mata kepada seorang murid sambil disaksikan David Renang (belakang tengah) dan Farhana (kanan sekali) pada majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (15 Feb) – Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen telah mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya sekolah di Bahagian Sri Aman yang dipilih untuk menerima sumbangan khas dari pihak Kelab Rotary cawangan Kuching.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Nanga Klassen, Jessica Nur Farhana memberitahu pihak sekolah telah pun menerima sumbangan berupa 40 buah unit basikal dan cermin mata untuk para murid yang mengalami masalah penglihatan.

“Bekas Timbalan Residen Bahagian Sri Aman iaitu Desmond Douglas Jerukan merupakan ‘orang kuat’di sebalik pencalonan SK Nanga Klassen untuk menerima bantuan daripada Kelab Rotary cawangan Kuching.

“Justeru pihak kami ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih terhadap beliau yang kini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Seksyen 4, Unit Pengurusan Sumber Manusia di Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Terdahulu upacara penyerahan simbolik bantuan berkenaan telah dilakukan oleh  Presiden Kelab Rotary Kuching iaitu Juergen Ertl menerusi majlis yang berlangsung di Riverside Majestic, Kuching.

Rentetan dari penyerahan simbolik tersebut, pihak SK Nanga Klassen telah mengadakan satu majlis khas bagi membolehkan pihak Kelab Rotary menghulurkan bantuan tersebut di sekolah berkenaan pada 9 Februari lepas.

Guru Besar SK Nanga Klassen, David Renang pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada pihak Rotary kerana prihatin terhadap keperluan murid SK Nanga Klassen walaupun sekolah itu berada di kawasan yang jauh dari Bandar.

 “Kami juga merakamkan penghargaan terhadap Pengerusi Pentadbiran Kelab Rotary, Abel Chieng Lee Chieng yang telah menyambut kedatangan para wakil kami ketika simbolik penyerahan bantuan di Kuching sebelum ini,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...