Tuesday, February 28, 2012

SK Ridan, Engkelili Terima Peruntukan RM20,000 Naiktaraf Dewan Sekolah


DARI KERAJAAN...Nyalau sedang menyerahkan cek peruntukan kepada Jensen sambil disaksikan oleh Rayong (tengah) dan Tiben (tiga kiri) pada majlis itu malam tadi.

ENGKILILI, Rabu (15 Feb) - Ibubapa dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan perkembangan terkini prestasi pembelajaran anak-anak di sekolah daripada para guru yang mengajar mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2012 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Ridan, Engkilili malam tadi.

Dengan berbuat demikian, ibubapa kata beliau akan dapat mengatur tindakan sendiri bagi mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak ketika mereka berada di rumah sebaik sahaja tamat waktu sekolah.

“Lagipun ibubapa juga boleh memantau tahap disiplin anak-anak ketika mereka berada di sekolah menerusi hubungan kerjasama yang mereka jalinkan bersama guru anak masing-masing.

“Justeru saya berharap agar langkah seperti ini dapat dijadikan satu budaya penting dikalangan ibubapa dan guru dalam mempertingkatkan kecemerlangan prestasi akademik anak-anak di masa akan datang,” katanya.

Beliau pada majlis itu juga berharap agar pihak ibubapa tidak meletakkan 100 peratus peranan serta tanggungjawab untuk mendidik anak-anak di bahu pihak sekolah selepas ini.

“Ibubapa harus tahu bahawa usaha untuk menjadikan anak-anak sebagai pemimpin berjaya di masa akan datang juga bergantung kepada hubungan kerjasama yang terjalin di antara mereka dan pihak guru mulai sekarang,” katanya.

Terdahulu Nyalau pada majlis berkenaan telah menyerahkan cek peruntukan bernilai RM20,000 untuk membantu menaiktaraf dewan sekolah disamping menjayakan lagi pelbagai aktiviti di situ.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Guru Besar SK Ridan, Tiben Jaya dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru SK Ridan, Jensen Ancheh.

- Utusan Sarawak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...