Wednesday, February 29, 2012

UMT Belanja RM40 Juta Bangunkan Kampus Baru


KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membelanjakan lebih RM40 juta untuk projek-projek pembangunan kampus dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) yang belum disiapkan.
Naib Canselor UMT, Prof Datuk Aziz Deraman berkata, ini termasuklah pembinaan bangunan agro teknologi, sains makanan, maritim dan pusat Islam yang sedang dalam proses pembinaan.
"Kita harap semua bangunan ini akan mula dapat digunakan menjelang semester depan," katanya kepada Bernama selepas program Gema UMT 'Bersama Ya Rasulullah' di sini, Selasa.
Selain itu, Aziz berkata UMT akan menggerakkan projek pembangunan di Tasik Kenyir Hulu Terengganu dan Bukit Kor Marang tahun ini.
Katanya, di Tasik Kenyir akan dibangunkan Pusat Penyelidikan Ikan Kelah sementara di Bukit Kor pula akan dibina bangunan cawangan kampus industri. Aziz juga berkata, UMT sekarang ini berada dalam fasa pengukuhan dan pemerkasaan khususnya untuk membina kekuatan modal insan yang menjadi tapak atau sumber kecemerlangan universiti.
Dalam hal ini, beliau berkata pertambahan pensyarah yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UMT tahun ini telah meningkat kepada 350 orang atau kira-kira 45 peratus berbanding empat tahun lalu.
"Kita harap dalam tiga tahun lagi jumlah pensyarah memiliki PhD bertambah lebih kurang 17 peratus lagi, sekaligus melepasi sasaran peringkat nasional 60 peratus," katanya.
Aziz berkata, sasaran UMT selepas tahun 2015 adalah 70 peratus pensyarah memiliki PhD.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMT memerlukan asrama bagi menempatkan sekurang-kurangnya 3,000 pelajar apabila jumlah pelajar di UMT meningkat kepada 10,000 orang pada masa akan datang.
Ketika ini, jumlah pelajar di UMT adalah seramai 7,000 orang.
Menurut Aziz, buat masa ini UMT sedang meninjau perumahan sekitar yang mungkin boleh dijadikan asrama pelajar.
- mStar

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...