Wednesday, February 29, 2012

Unimas Menang Anugerah Inovasi dan Ciptaan Paling Baik Pada MTE 2012


Warga Unimas menunjukkan sijil dan anugerah yang dimenangi pada MTE 2012 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SAMARAHAN 28 Feb. - Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) memenangi empat pingat emas, tiga perak dan 10 gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia 2012 (MTE 2012) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Ekspo anjuran Malaysian Association Research Scientists (MARS) dan PROTEM Exhibitions Sdn. Bhd. yang bermula pada 16 hingga 18 Februari lalu itu telah menghimpunkan 558 ciptaan dari peserta antarabangsa dan tempatan dengan Unimas mempamerkan 18 ciptaannya.

Unimas dalam satu kenyataan berkata, Profesor Madya Dr. Nazlina Shaari dari Fakulti Seni Kreatif dan Gunaan, Unimas turut memenangi 'Anugerah Inovasi dan Ciptaan Paling Baik' menerusi ciptaannya yang dikenali sebagai 'Eco-Mordant: Utilising Sago Effluent in Natural Dye Process'.

Katanya, ciptaan Nazlina itu menggambarkan satu kaedah alternatif yang menggunakan sisa sagu dalam proses pewarnaan semula jadi yang secara tidak langsung mengambil kira kepentingan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Ini kerana produk tersebut menggunakan sisa sagu bagi menghasilkan pelbagai tone warna yang semula jadi untuk diaplikasikan pada fabrik selepas melalui proses penapaian.

"Menerusi ciptaan ini, proses pewarnaan tersebut mampu menggantikan bahan toksik dan pewarna kimia tidak terbiodegradasikan dengan pencelup yang rendah tahap toksik malah terbiodegradasikan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kemenangan Nazlina itu membolehkan Unimas berada di tempat kedua antara institusi pengajian tinggi (IPT) kebangsaan dan antarabangsa serta pelbagai organisasi daripada 40 negara yang menyertai MTE2012 termasuk Korea, Croatia, Rusia, Poland, Taiwan, Arab Saudi serta Iran.

"Pencapaian cemerlang itu diharap akan memberi perangsang kepada para penyelidik Unimas agar lebih bermotivasi dan bergerak maju dalam kajian masing-masing.

"Dengan harapan mereka akan menghasilkan ciptaan dan inovasi baru sebelum ia boleh dikomersialkan sekali gus memberi pendapatan kepada universiti ini," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...