Wednesday, February 29, 2012

Universiti & IPT Disaran Lahirkan Tokoh Pelajar Peringkat Antarabangsa


KUALA TERENGGANU: Setiap universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini disaran membangun dan mewujudkan tokoh-tokoh pelajar yang hebat yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Abdul Rahim Md Noor berkata universiti dan institusi pengajian tinggi wajar mempunyai program berimpak tinggi yang boleh memberi kesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pelajar yang hebat kepimpinan dan petah berbicara.
"Antara program yang patut dilaksanakan secara berkesan ialah sistem mentor mentee dan program pembangunan kepimpinan secara lebih bersepadu.
"Sebagai contoh, mana-mana pelajar dalam sesebuah universiti itu perlu dinilai dari awal bagi mencari potensi kepimpinan yang boleh dibangunkan sepanjang tiga atau empat tahun berada di universiti untuk diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Kepimpinan Pelajar (MAKEP 2011) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, Ahad.
Turut hadir Naib Censelor UMT Prof Datuk Dr Aziz Deraman.
Abdul Rahim berkata kementerian sentiasa memberi bantuan kepada persatuan-persatuan pelajar terutama untuk program berimpak tinggi agar mereka dapat menyemai sifat kepimpinan yang ada pada diri. -BERNAMA, 26 Feb

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...