Thursday, February 23, 2012

USM Cipta Alat Pelbagai Guna I-Mod


Nor Haslina Mohd. (kiri) memegang trofi Anugerah Inovasi Negara 2011 dan ahli kumpulan Lestari bersama Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 22 Feb. - Mereka yang berpengalaman menjaga ahli keluarga yang lama terlantar sakit pasti berhadapan dengan situasi di mana bahagian belakang pesakit menjadi melecet dan berkudis akibat baring terlalu lama.

Jika pesakit dalam wad di hospital, tugas penjagaan pesakit ditangani jururawat, tetapi keadaan tentu berbeza dan timbul kesukaran apabila pesakit yang tidak berupaya bergerak sendiri dibenarkan pulang ke rumah.

Penjaga biasanya bimbang untuk mengubah kedudukan pesakit kerana takut mendedahkan mereka dengan risiko jatuh sehingga menyebabkan pesakit terus terlantar dan berhadapan dengan komplikasi lain.

Menurut Pensyarah Fisioterapi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Haslina Mohd., 31, selain kudis, pesakit lumpuh dan terlantar yang tidak diubah posisi juga sebenarnya berdepan dengan komplikasi seperti paru-paru berair dan otot mengecut akibat tiada pergerakan.

Menurutnya, anggota badan pesakit yang terlantar mesti sentiasa digerakkan untuk merangsang sendi otot, meningkatkan deria rasa, melancarkan peredaran darah serta meningkatkan kapasiti paru-paru.

Justeru katanya, rawatan ambulasi atau menggerakkan pesakit ke pelbagai posisi perlu dilakukan sama ada secara manual atau menggunakan alatan tilt table bagi membolehkan pesakit ‘berdiri’.

Namun katanya, pesakit yang berada di rumah dan tidak mendapatkan rawatan fisioterapi di hospital, sudah tentu tidak akan mendapat pemulihan sewajarnya memandangkan mustahil untuk jurupulih yang turun melawat dalam program komuniti membawa alatan seperti tilt table bersama mereka.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau mengadakan program lawatan komuniti bersama kumpulan rehabilitasi USM, pihaknya hanya dapat menjalankan rawatan ambulasi secara manual iaitu menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.

“Adalah mustahil untuk kami membawa tilt table dari hospital ke rumah pesakit bagi sesi rawatan kerana saiznya yang besar.

“Kami terpaksa menggunakan tenaga sendiri untuk mengangkat pesakit pada keadaan berdiri untuk tempoh yang lama sedangkan ia berisiko menyebabkan kecederaan kepada pesakit dan jurupulih terutama jika pesakit mempunyai lebihan berat badan.

“Masa yang diperlukan bagi merawat seorang pesakit terlantar memakan masa kira-kira tiga jam kerana perlu berhati-hati semasa mengangkat dan mengekalkan posisi berdiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Justeru, Nor Haslina selaku Ketua Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) Lestari USM bersama ahli kumpulannya iaitu Mardhiah Mohamed, 23; Mohd Kamarulzaman Ibrahim, 31; Mohd. Hariri Hashim, 35; Suzana Hassan, 33; Masliza Yazid, 29; Mohd. Asri Ariffin, 42; Nik Fakurudin Nik Ali, 32, dan Mohd. Rahim Abdul Wahid, 45, mereka sebuah alat yang memudahkan penjaga dan jurupulih menjalankan ambulasi ke atas pesakit di rumah.

Hasil gabungan idea ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pensyarah fisioterapi, jurupulih cara kerja, pegawai grafik, juruteknik makmal perubatan dan kakitangan lain dari PPSK USM di bawah bimbingan fasilitator iaitu Pensyarah Kanan Dr. Mohammed Saat Ismail itu telah berjaya menghasilkan alat dipanggil ‘I-Mod’.

Nor Haslina berkata, I-Mod adalah sejenis alat pelbagai guna yang berfungsi sebagai kerusi roda dan juga standing frame untuk pemulihan pesakit.

Contohnya bagi pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang, angin ahmar, cerebral palsy, pembedahan neuro, masalah pembesaran terbantut dan lain-lain masalah yang menyebabkan pesakit tidak dapat berjalan.

Jelasnya, alat itu boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam kenderaan sekali gus memudahkan ahli keluarga membawa pesakit ke mana sahaja.

Apa yang membanggakan adalah kejayaan mencipta I-Mod bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat universiti bahkan Kumpulan Lestari mencipta sejarah bagi Kampus Kesihatan USM apabila memenangi Anugerah Inovasi Negara 2011 Kategori Perkhidmatan dan membolot hadiah wang tunai RM50,000, piala dan sijil pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur pertengahan November tahun lalu.

“Kami mula membangunkan idea ini awal tahun lalu dan membina prototaip menggunakan bahan terbuang seperti kerusi roda yang sudah rosak dan sebagainya.

“Ia mempunyai tali pinggang untuk keselamatan pesakit, penyandar yang boleh dilaras naik dan juga diturunkan sehingga 180 darjah, pemijak kaki refleksologi serta brek seperti kerusi roda biasa.

“Ahli keluarga pesakit yang terlantar boleh membawa pesakit bersiar-siar ke taman bunga dengan pesakit berada dalam keadaan berdiri di atas ‘I-Mod’ tanpa perlu dibimbangi dia akan jatuh,” katanya.

Nor Haslina berkata, kekuatan I-Mod adalah penyandar kerusi yang fleksibel dan boleh ‘dibaringkan’ daripada kerangka berdiri kepada katil pada bila-bila masa jika pesakit mempunyai masalah keseimbangan badan atau pening terutama mereka yang mengalami masalah tulang belakang.

Jelasnya, dalam masa sama alatan itu sengaja direka agar berfungsi tanpa menggunakan bateri kerana selain menjimatkan kos, ia dapat melatih pesakit menggunakan kekuatan anggota badan mereka sendiri setakat termampu.

Beliau berkata, sejak alat itu mula digunakan melalui program pemulihan dalam komuniti sekitar April tahun lalu, ia membantu kumpulannya menjalankan rawatan ambulasi kepada lebih ramai pesakit semasa sesi lawatan mingguan mereka.

“Jika sebelum itu kami hanya sempat melawat seorang atau dua sahaja dalam sehari, tetapi dengan adanya I-Mod kami boleh membantu sekurang-kurangnya empat orang,” katanya.

Beliau menambah, ahli kumpulannya juga terharu apabila inovasi yang dihasilkan mereka dapat dimanfaatkan oleh warga universiti itu iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM, Prof. Madya Dr. Abas Hussin, 52, yang terlantar dan lumpuh seluruh badan sejak setahun lalu akibat komplikasi jantung.

Majlis penyerahan model pertama I-Mod kepada Abas yang diwakili isterinya, Noraini Ismail, 50, disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

Nor Haslina berkata, pihaknya kini dalam proses mempatenkan I-Mod dan ia bakal dipasarkan secara komersial oleh anak syarikat USM selewat-lewatnya hujung tahun ini.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...