Wednesday, February 29, 2012

USM Lancar Dana Inovasi RM2 Juta


PULAU PINANG 28 Feb. – Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan Dana Inovasi berjumlah RM2 juta bagi mengkomersialkan produk penyelidikan yang dilakukan oleh para penyelidik dan pelajar universiti berkenaan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman berkata, menerusi tabung tersebut, hasil kajian penyelidik dan pelajar dapat memasuki pasaran untuk ditawarkan kepada pihak berminat.

Menurutnya, langkah itu dibuat berikutan banyak hasil penyelidikan tidak dapat dimanfaatkan oleh orang ramai kerana penyelidik tidak mempunyai kewangan untuk memasarkannya.

“Lantaran itu, USM akan menggunakan dana ini dengan memberi RM50,000 maksimum kepada penyelidik untuk memasarkan produk mereka.

“Bagaimanapun, bukan semua produk dapat dipasarkan kerana kami perlu menilai terlebih dahulu sama ada ia boleh digunakan oleh universiti sahaja atau berpotensi tinggi dalam pasaran,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Omar memberitahu, USM berjaya memperoleh 14 pingat dalam Ekspo Teknologi Malaysia yang berlangsung minggu lalu.

Daripada 14 pingat itu, jelasnya, lapan merupakan emas, empat perak dan dua gangsa.

Katanya, beliau bangga dengan kejayaan tersebut dan berazam untuk berusaha lebih keras pada penyertaan akan datang.

Antara produk yang memenangi emas dihasilkan oleh pasukan yang diketuai oleh Dekan Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Abdul Rashid Mohamed dinamakan Sistem Pentafsiran dan Penilaian Bacaan (Reads).

Reads merupakan satu alat penilaian bacaan yang boleh menilai tahap penguasaan bahasa pelajar, bukan sekadar memberikan gred, tetapi juga mengesan kelemahan mereka.

“Alat ini akan memberitahu pelajar tahap bacaan yang perlu dicapai bersesuaian dengan usia mereka.

“Ia juga akan memberitahu masalah dan kelemahan supaya guru atau ibu bapa dapat memperbetulkan secara lebih berkesan.

“Setakat ini, alat ini direka khusus untuk pelajar pelajar tingkatan satu hingga lima,” ujarnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...