Wednesday, February 29, 2012

Young Invention, Innovation & Design 2012 Cungkil Bakat UiTM Sarawak


PESERTA dan pemenang pertandingan Young Invention, Innovation & Design 2012 bergambar di kampus UiTM Sarawak di Samarahan, baru-baru ini.

SAMARAHAN 28 Feb. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak di sini baru-baru ini sekali lagi menganjurkan pertandingan Young Invention, Innovation & Design (YIID) 2012 bagi mencungkil bakat pelajarnya dalam bidang reka cipta.

Dianjurkan Pasukan Gerakan Kualiti Pelajar (PGKP) UiTM Sarawak, pertandingan kali ini mendapat sambutan hangat para pelajar apabila berjaya menarik tiga kali ganda penyertaan berbanding edisi terdahulu.

Ia melibatkan 48 produk yang dicipta oleh pelajar UiTM Sarawak kampus Samarahan dan Mukah serta terbahagi kepada tiga kategori.

Kategori tersebut adalah invention yang menerima 15 penyertaan, innovation (24) dan design (9).

Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr. Jamil Hamali berkata, penganjuran YIID 2012 bertujuan menyahut seruan kerajaan supaya institusi pengajian tinggi mengambil inisiatif menonjolkan kreativiti pelajar dalam bidang reka cipta untuk diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, menerusi pertandingan tersebut, pelajar dikehendaki mencipta produk baru yang memiliki nilai tambah supaya dapat dikomersialkan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan minda muda yang dipupuk daripada awal menghasilkan keajaiban seperti sebiji benih padi yang jika ditanam dan dijaga rapi akan menghasilkan beras bermutu tinggi.

“Kita berharap YIID 2012 dapat menjadi platform untuk kita menuai hasil daripada golongan belia dan apa yang membanggakan, penglibatan pelajar dalam pertandingan ini sentiasa meningkat pada setiap semester,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang YIID 2012, di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi YIID 2012, Noorsaidi Mahat.

Kategori invention menyaksikan produk Seedling Transplanter dipilih sebagai johan manakala bagi kategori innovation dan design, hakim sebulat suara memilih produk bernama Coconut Husk Craft Paper dan E-Design sebagai pemenang.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...