Thursday, March 08, 2012

15 Pelajar UTeM Sertai Formula Varsity 2012

SEBAHAGIAN pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTeM membuat persediaan bagi menghadapi cabaran perlumbaan Formula Varsity di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 6 Mac. - Seramai 15 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyahut cabaran apabila menyertai perlumbaan kereta antara institusi pengajian tinggi (IPT), Formula Varsity.

Pengarah Program, Dr. Musthafah Mohd. Tahir berkata, kesemua pelajar yang disenarai itu akan bertanding di Litar Lumba Antarabangsa Melaka (MIMC) Oktober ini.

Sebagai tuan rumah, katanya, UTeM akan membuat persiapan rapi bagi menyediakan sebuah pasukan paling mantap bersaing dengan pasukan-pasukan daripada IPT lain.

"Beberapa proses pemilihan telah dijalankan termasuk temuduga, ujian kemahiran teknikal dan komunikasi.

"Pemilihan ini penting bagi menyediakan sebuah pasukan yang berwibawa kerana pembangunan kereta dan jentera untuk perlumbaan ini diselenggara sepenuhnya oleh pelajar," katanya baru-baru ini.

Dr. Musthafah berkata, prestasi akademik juga turut menjadi kriteria utama untuk memilih pelajar yang layak mewakili UTeM dalam perlumbaan Formula Varsity nanti.

Menurutnya, penyertaan kini masih dibuka kepada IPT yang berminat turut serta dalam perlumbaan tersebut. Borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang formulavarsity.utem.edu.my.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...