Thursday, March 01, 2012

170 Peserta Kursus Community Emergency Response Team di Dalat


Seramai 170 peserta daripada 29 kampung, rumah panjang dan sekolah menengah di Daerah Dalat telah menyertai Pasukan CERT (Community Emergency Response Team) pada hari Ahad. 

Mereka adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ketua masyarakat dan pelajar-pelajar di SMK Dalat dan SMK Oya. 

Pasukan-pasukan CERT ini diberi latihan asas dari segi penyelamatan semasa banjir, cara-cara penyelamatan mangsa-mangsa di air, pemindahan mangsa-mangsa banjir, penyelamatan mangsa-mangsa kebakaran, teknik-teknik memadam kebakaran, pertolongan cemas dan lain-lain yang berkaitan dengan kerja-kerja bantuan kecemasan. 

Berdasarkan konsep CERT, ianya merupakan pendekatan positif dan realistik untuk menghadapi kecemasan dan bencana di mana masyarakat akan mengambil tindakan awal mengatasi keadaan sementara menunggu ketibaan agensi bantuan professional. 

Perlaksanaan program CERT adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyubur dan menyemarak semangat kesukarelaan, penglibatan aktif, ciri kebertanggung jawaban dan kepedulian oleh komuniti terhadap keselamatan dan kesejahteraan komuniti itu sendiri. 

Pengarah Unit Keselamatan Negeri di Jabatan Ketua Menteri, Datu Dr Haji Yusoff Nook, yang berucap pada Majlis Perasmian Program Latihan Dan Pelancaran menyatakan CERT Daerah Dalat adalah yang pertama pada tahun ini. 

“CERT Daerah Dalat adalah yang pertama pada tahun ini, dan kesebelas untuk Sarawak, dan kita ada menerima permintaan daripada 12 kawasan lagi, dan memandangkan sambutan yang menggalakan daripada orang ramai, kita akan memenuhi kesemuanya. Sebenarnya saya amat kagum dengan sambutan di Dalat ini, kerana ia juga melibatkan penyertaan ketua-ketua masyarakat dan juga kaum wanita,” katanya. 

Beliau juga merasa tertarik dengan pengelibatan daripada pihak sekolah kerana sebelum ini belum ada pelajar-pelajar yang terlibat dengan CERT. 

Juga hadir pada majlis yang juga diselitkan dengan mini-pameran kegiatan-kegiatan CERT tersebut ialah isteri Yussof, Datin Siti Rahmah Talip, Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, Penghulu Gregory Buji, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.

- Sarawak Update, 20 Feb 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...