Wednesday, March 21, 2012

20 Pelajar ILP Sertai Pertandingan Kemahiran Malaysia Peringkat Prakelayakan

  NR       Wednesday, March 21, 2012

KOTA BHARU 20 Mac - Seramai 20 orang termasuk seorang peserta perempuan di tiga Institut Latihan Perindustrian (ILP) menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia Peringkat Prakelayakan yang diadakan di ILP Kota Bharu selama tiga hari bermula semalam.

Peserta terdiri daripada penuntut semester dua dan tiga yang mengambil kursus sijil teknologi binaan bangunan dan perabot dari ILP Kota Bharu, ILP Kuala Terengganu dan ILP Labuan.

Ketua Jabatan Sivil dan Bangunan ILP Kota Bharu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tapak Pertandingan, Yusniza Muhd. Yusuf berkata, pertandingan prakelayakan tersebut bertujuan memilih wakil JTM untuk bertanding di PKM peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, pertandingan pra kelayakan itu menawarkan hadiah RM500 bagi juara setiap tiga kategori kemahiran yang dipertandingkan iaitu penerapan bata; pemasangan jubin dinding dan lantai serta pembikinan kabinet.

"Peserta diberi masa enam jam tidak termasuk waktu rehat untuk menyiapkan kerja masing-masing mengikut pelan rancangan yang disediakan sementara pemarkahan akan dilakukan pada hari ketiga oleh hakim yang dilantik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak pertandingan di sini hari ini.

Jelasnya, juara dan naib juara setiap kategori secara automatik akan layak bertanding di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada Julai ini serta akan berhadapan dengan peserta dari institusi kemahiran lain dari seluruh negara.

Sementara itu, salah seorang hakim yang bertugas, Latfy Nazry Abd. Malik berkata, antara kriteria yang diambil kira untuk pemarkahan adalah kemampuan peserta menyiapkan projek, binaan dan kemasan akhir produk yang dihasilkan.

Beliau yang juga pensyarah di ILP Kuala Terengganu dan pemenang Tangan Emas PKM tahun 2000 kategori penerapan bata berkata, pertandingan itu membuka ruang kepada penuntut untuk menunjukkan kemahiran mereka sehingga ke pertandingan peringkat serantau, Asia dan dunia.

"Kemahiran adalah aset yang bernilai pada zaman ini dan lepasan sekolah dengan kelulusan kurang memuaskan tidak perlu malu masuk ke institusi sebegini; apa yang penting adalah kesungguhan," katanya. Beliau merupakan lulusan Sijil Teknologi Binaan Bangunan Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Wakaf Tapai dan Diploma Teknologi Binaan Bangunan ILP Kuala Terengganu ini.

Sementara itu, pensyarah pengiring dari ILP Labuan, Ahmad Termizi Khalid, 32, berkata, seramai empat peserta dari Sabah iaitu Mohd. Salahuddin Samsuddin, 19; Peter Elin Anak August, 19; Mohd. Shaipuddin Mukrim, 19, dan Ahmad Taufik Askal, 19, menyertai kategori penerapan bata serta pemasangan jubin dinding dan lantai di pertandingan kali ini.

"Sasaran kami sudah tentunya adalah untuk layak ke pertandingan akhir di Kuala Lumpur nanti, sudah berapa tahun kami kandas di peringkat pra kelayakan, jadi kami harap kali ini perjalanan jauh dari Sabah tidak sia-sia," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 20 Pelajar ILP Sertai Pertandingan Kemahiran Malaysia Peringkat Prakelayakan

Previous
« Prev Post

No comments: