Tuesday, March 20, 2012

3 Murid & Seorang Guru Ditembak Mati di Sekolah Yahudi di Perancis

  NR       Tuesday, March 20, 2012

BEBERAPA anggota polis memeriksa kawasan sekitar sebuah sekolah Yahudi yang menjadi lokasi empat orang maut ditembak di Toulouse semalam. 

TOULOUSE: Seorang lelaki bersenjata merempuh masuk ke sekolah Yahudi di Perancis, semalam dan menembak mati tiga murid dan seorang guru.

Ini adalah serangan ketiga dalam tempoh seminggu di mana penyerang melepaskan diri menggunakan motosikal. 

Mangsa, berusia tiga, enam dan 10 tahun dan guru agama berusia 30 tahun ditembak mati sebaik saja mereka tiba di sekolah Ozar Hotarah, di barat daya bandar Toulouse. 

Israel menyifatkan ia serangan “ngeri”, manakala kumpulan rabai Eropah menganggapnya “perbuatan kejam”.

Pendakwa raya Michael Valet berkata, penembak itu menembak lelaki di luar sekolah sebelum satu daripada senjatanya gagal berfungsi. 


Dia kemudian memasuki perkarangan sekolah lalu menembak secara rawak. 

“Dia menembak apa saja yang dia nampak, murid dan orang dewasa, dan beberapa murid dikejar masuk ke dalam bangunan sekolah,” katanya. 

Sekolah itu mempunyai 200 murid. 

Ibu bapa murid sekolah berkata, seorang guru dan dua muridnya adalah antara yang terbunuh. 

Valet berkata, seorang cedera parah dalam serangan itu yang berlaku beberapa hari selepas dua serangan di wilayah itu oleh seorang lelaki menaiki motosikal dan menembak mati tiga anggota tentera. 

Tiada bukti nyata untuk mengaitkan serangan itu, tetapi Menteri Dalam Negara Claude Guent berkata, terdapat beberapa “persamaan” dan polis pula berkata, jenis peluru kaliber yang sama digunakan dalam ketiga-tiga serangan itu. 

Polis berkata, penyerang itu pada mulanya menggunakan peluru 9-mm tetapi ia gagal berfungsi, lalu dia bertukar kepada senjata 45-kaliber ketika dia masuk ke sekolah itu. 

Senjata 45-kaliber digunakan dalam serangan ganas minggu lalu. 

Gueant mengarahkan keselamatan diperketatkan di semua sekolah Yahudi di Perancis selepas serangan di Toulouse itu dan berkata dia akan ke bandar itu bersama Presiden Nicolas Sarkozy. 

Sarkozy berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan serangan semalam dengan serangan minggu lalu. 

Menteri Luar Israel, Yigal Palmor berkata, “Kami yakin pihak berkuasa Perancis akan dapat membawa mereka yang bertanggung jawab ke muka pengadilan.” - AFP

logoblog

Thanks for reading 3 Murid & Seorang Guru Ditembak Mati di Sekolah Yahudi di Perancis

Previous
« Prev Post

No comments: