Wednesday, March 07, 2012

3 Suspek Culik Budak Ditahan


JOHOR BAHRU 5 Mac – Polis memberkas tiga individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak di sebuah rumah kosong berhampiran kediaman mangsa di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam dekat sini Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 40 tahun itu diberkas hasil maklumat penduduk yang curiga dengan kehadiran mereka di rumah kosong berkenaan sejak Disember lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek ditahan pada hari yang sama selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berusia 5 tahun itu, Nurul Nadirah Abdullah.

“Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan polis sedang berusaha mengesan kanak-kanak itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Nurul Nadirah atau dikenali sebagai Dira disedari hilang oleh keluarganya selepas kanak-kanak itu keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi Khamis lalu.

Dia yang membawa RM4 bersama sekeping nota bertulis mi segera dan telur RM2 ke kedai di blok bersebelahan tidak pulang selepas kira-kira setengah jam keluar dari rumah, kata ibunya, Roselyn Alan, 25.

Mohd. Mokhtar berkata, setakat ini, polis sudah melakukan pemeriksaan di 20 lokasi sekitar daerah ini bagi mengesan kanak-kanak itu, namun masih belum menemuinya dan mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang.

Polis, kata beliau, sedang menjalankan siasatan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kanak-kanak itu agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, polis telah menemui sebelah selipar mangsa pada jarak 200 meter dari lokasi rumahnya manakala sebelah lagi 500 meter iaitu di kawasan ladang kelapa sawit.

Katanya, polis turut menemui mi segera dan telur yang sudah pecah selain gula-gula dipercayai dibeli oleh mangsa sebelum itu.

“Siasatan polis setakat ini percaya motif kejadian bermotifkan dendam yang disyaki dilakukan oleh suspek.

“Suspek berbuat demikian disebabkan nenek mangsa pernah memarahinya kerana melihatnya mencuri kabel malah pernah memberi amaran kepada keluarga mangsa supaya tidak mencampuri urusannya,” katanya.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibungkus dengan kain batik sebelum dibawa keluar dari rumah suspek yang berhadapan dengan kediaman mangsa.

Ini kerana terdapat saksi yang melihat jari tangan mangsa terkeluar dari bungkusan itu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...