Thursday, March 22, 2012

48 Calon SPM 2011 Sarawak Semua A+, 4 Buah Sekolah 100% Lulus

  NR       Thursday, March 22, 2012

Sebahagian pelajar yang mendapat 10 A dan 9 A menunjukkan slip keputusan SPM di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 21 Mac - Seramai 48 orang calon dari negeri ini memperoleh prestasi keputusan cemerlang tertinggi dengan mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada hari ini berbanding hanya 36 orang pada tahun 2010.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, seramai lima orang mendapat 11 A+ manakala 40 orang lagi memperoleh 10 A+ dan tiga orang mendapat 9 A+ dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 729 orang berbanding dengan 637 orang pada tahun 2010 iaitu peningkatan sebanyak 92 orang.

''Seorang calon berkeperluan khas (rabun) iaitu Easter Janta Demong dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony di Sarikei turut mendapat sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2011 Peringkat Negeri Sarawak di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdillah memberitahu, sebanyak empat buah sekolah di negeri ini telah mencatatkan prestasi cemerlang dengan 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

Katanya, sekolah tersebut ialah SM Sains Kuching diikuti SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong dan MRSM Kuching.

''Jika berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik, tiga sekolah teratas ialah, SM Sains Kuching dengan nilai GPS 1.82 manakala tempat kedua SM Sains Miri (GPS 1.86) dan tempat ketiga, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah (GPS 2.22)," ujarnya.

Sementara itu katanya, pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 di Sarawak merupakan yang terbaik dalam tempoh enam tahun apabila mencatatkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) 5.39 berbanding 5.92 pada tahun 2006.

Menurut beliau, penurunan nilai GPN pada tahun ini berbanding tahun 2006 jelas memperlihatkan peningkatan pencapaian calon SPM pada setiap tahun.

Jelasnya, pada tahun 2006, indeks GPN yang dicatatkan ialah 5.92; 5.88 (2007); 5.76 (2008); 5.73 (2009); 5.58 (2010) dan 5.39 bagi tahun 2011.

Bagi calon-calon yang ingin membetulkan maklumat peribadi dalam slip keputusan, menyemak semula atau mengemaskini keputusan mereka perlu melakukannya dalam tempoh 30 hari iaitu selewat-lewatnya 20 April ini.

Borang semak semula atau pengemaskinian keputusan dan borang pembetulan maklumat calon (LP/Am 38) boleh diperoleh daripada sekolah masing-masing, unit penilaian dan peperiksaan, pejabat pelajaran daerah atau sektor penilaian dan peperiksaan di Jabatan Pelajaran Sarawak, Jalan Simpang Tiga.

- Utusan Sarawak
logoblog

Thanks for reading 48 Calon SPM 2011 Sarawak Semua A+, 4 Buah Sekolah 100% Lulus

Previous
« Prev Post

No comments: