Wednesday, March 07, 2012

7 Pelajar Ting 3 Cedera Dipukul Pelajar Senior

IPOH - Tujuh pelajar lelaki tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini menerima rawatan selepas mendakwa dipukul sekumpulan pelajar senior akibat selisih faham pada 29 Februari lalu.

Bukan setakat dipukul di kawasan sekolah, salah seorang pelajar terbabit dipukul dengan topi keledar di hadapan pagar berkenaan sehingga kaki kanannya mengalami kecederaan sepanjang kira-kira 10 sentimeter (cm).

Menurut mangsa yang enggan dikenali berkata, pada mulanya, hanya sorang rakannya dipukul dalam sebuah kelas namun, keadaan bertambah teruk apabila enam yang lain turut dipukul selepas menemani pelajar terbabit untuk bertemu dengan guru besar.

“Kami dikepung 20 pelajar senior terbabit pada waktu rehat. Tidak sempat melarikan diri kerana mereka memukul menggunakan batang penyapu tanpa sebab.

"Selepas kejadian kedua itu, mereka menunggu pula di hadapan pagar. Selepas kami berenam balik, salah seorang dari kami dipukul dengan topi keledar pula disebabkan ayahnya lewat menjemputnya selepas sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Adun Canning di sini, semalam.

Katanya, sebelum ini mereka tidak menerima apa-apa ugutan sebelum berlakunya kejadian itu.

Pada masa sama, ibu pelajar, Teoh Toh Sim, 44, berkata, anaknya takut hadir ke sekolah berkenaan kerana bimbang dipukul pelajar sama selepas insiden itu.

“Saya pelik kenapa guru sekolah itu tidak tindakan selepas kejadian ini. Tahun lepas anak saya dipukul namun, tiada melibatkan apa-apa perkara serius. Kali ini ia melibatkan senjata seperti kayu dan topi keledar. Saya bimbang dengan keselamatan anak saya sehingga merancang untuk memindahkannya ke sekolah lain kerana ini merupakan kejadian kedua berlaku sejak awal tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun usaha menghubungi Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias dan pengetua sekolah berkenaan gagal bagi mendapatkan maklum balas berhubung kejadian itu.

- SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...