Tuesday, March 06, 2012

72 Syarikat Memeterai MoU Sedia Tempatkan Pelajar IKBN Jalani Latihan Amali


KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan 72 syarikat yang bersetuju menerima pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menjalani latihan amali di syarikat mereka. 

Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan KBS, Sa'ari Salleh, berkata jumlah itu menepati sasaran kementerian iaitu sekurang-kurangnya dua syarikat bagi setiap IKBN.

"Pelajar di semua 21 IKBN di seluruh negara perlu mengambil peluang melakukan latihan amali dengan kualiti terbaik kerana syarikat ini akan mengambil mereka bekerja jika memenuhi piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di IKBN Kemasik di sini, baru-baru ini.

IKBN yang kini mempunyai 4,400 pelajar menawarkan 12 jenis kursus kemahiran antaranya kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, teknologi makanan, perhotelan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan. 

Sa'ari berkata, lebih 85 peratus pelajar yang menamatkan kursus di IKBN seluruh negara berjaya mendapat kerja, dengan kebanyakannya bekerja di syarikat industri yang sebelum ini mengambil mereka menjalani latihan amali. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...