Thursday, March 08, 2012

90 pelajar agama sertai Matrikulasi Perubatan UniSZA - TATiUC


KUALA TERENGGANU 6 Mac - Seramai 90 pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah terpilih di negeri ini bakal merintis program Matrikulasi Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)-Kolej Universiti TATI (TATiUC) yang dijangka bermula Oktober ini.


Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan kuota 30 peratus bagi penempatan anak negeri menyambung pengajian dalam bidang itu setiap tahun.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kesemua pelajar perintis itu akan diambil dari sekolah-sekolah terpilih terutama sekolah aliran agama seperti Imtiaz.


Katanya, usaha itu dibuat bagi melahirkan lebih ramai profesional khususnya doktor perubatan yang arif dalam ilmu agama termasuk hafiz al-Quran.


Menurutnya, bagi pengambilan pertama itu kelak, sebahagian pelajar akan ditempatkan di TATiUC Kemaman manakala sebahagian lagi di UniSZA Gong Badak dekat sini.


"Kita bukan hanya ambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah agama tetapi juga pelajar sekolah lain yang cemerlang dan layak.


"Namun begitu, keutamaan diberi kepada pelajar aliran agama bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri melahirkan lebih ramai golongan profesional yang hafiz al-Quran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Ahmad Razif menjelaskan, walaupun perkara itu masih dalam peringkat cadangan, kerajaan negeri komited bagi memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan segera.


Bagi tujuan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu depan bagi membincangkan perkara tersebut.


Beliau memberitahu, usaha menempatkan pelajar lepasan SPM mengikuti program Matrikulasi Perubatan adalah sebahagian daripada program pendidikan bagi meningkatkan jumlah doktor kalangan anak negeri.


''Kerajaan negeri menghantar 150 pelajar Terengganu mengikuti kursus perubatan di luar negara pada setiap tahun termasuk termasuk di Ireland dan Republik Czech," katanya.


Tambahnya, program Matrikulasi Perubatan di TATiUC-UniSZA juga sebagai persediaan para pelajar Terengganu sebelum melanjutkan pengajian mereka dalam bidang perubatan ke peringkat lebih tinggi sama ada di universiti tempatan atau luar negara.


Mengenai kuota 30 peratus bagi anak Terengganu mengikuti program itu, Ahmad Razif berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan UniSZA dalam waktu terdekat bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri itu.


- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...