Monday, March 12, 2012

90 Pelajar Ting 6 Terima Dermasiswa RM500 Seorang di Perak

IPOH 11 Mac - Seramai 90 pelajar tingkatan enam atas dari 49 sekolah di seluruh negeri ini menerima sumbangan dermasiswa berjumlah RM45,000 daripada Badan Amal dan Usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri) semalam.

Sumbangan RM500 setiap seorang itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Penasihat Baiduri di kediaman rasmi beliau di sini.

Hadir sama, isteri beliau yang juga Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Zambry berkata, insentif tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai pencapaian akademik sederhana daripada keluarga berpendapatan rendah untuk berjaya dalam pelajaran.

"Saya yakin dengan pendekatan (bantuan) yang ada, mereka akan dapat memulihkan diri seterusnya menjadi pelajar cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini," katanya.

Sementara itu, para penerima melahirkan rasa gembira dengan insentif tersebut kerana ia meringankan beban keluarga untuk membeli bahan-bahan rujukan pelajaran mereka.

Muhammad Shaffiq Bakar, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar berkata, wang tersebut akan digunakan untuk membeli bahan-bahan akademik bagi pembelajarannya.

Dia yang memperoleh 4A 2B dan 3C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 pada STPM tahun ini.

Seorang pelajar, Teng Shi Gin, 19, dari SMK Tsung Wah, Kuala Kangsar berkata, sumbangan tersebut mendorongnya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan STPM nanti.

"Saya akan guna duit ini untuk membeli bahan-bahan bacaan kerana saya mahu mencatatkan sekurang-kurangnya 4A pada peperiksaan STPM," katanya yang memperoleh 10A pada SPM lalu.

Pelajar dari SMK Ayer Tawar, V. Pushpaavalli, 19, pula melahirkan rasa gembira dengan pemberian itu kerana boleh digunakan untuk membeli bahan-bahan rujukan bagi menghadapi STPM.

"Saya mahu mendapat keputusan cemerlang supaya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya letak sasaran sekurang-kurangnya 3A dan PNGK 4.0," katanya yang mendapat keputusan 7A 2B dan 2C pada peperiksaan SPM lalu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...