Thursday, March 15, 2012

93 Pelajar UMS & Universiti Yokohama Kanagawa, Jepun Tanam Bakau


Seramai 93 penuntut dari Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Yokohama Kanagawa, Jepun mengambil bahagian dalam program penanaman semula pokok bakau di Hutan Simpan Paya Bakau Sulaman, Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 13 Mac - Seramai 93 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Yokohama Kanagawa, Jepun mengambil bahagian dalam program menanam pokok bakau di Hutan Simpan Paya Bakau Sulaman, Tuaran, dekat sini, baru-baru ini.

Aktiviti yang diadakan sempena program pertukaran penuntut kedua-dua universiti itu mendapat kerjasama Persatuan Tanah Lembap Sabah (SWCS).

Pegawai Bahagian Perhubungan Korporat UMS, Salbinous Salibun berkata, dalam program itu peserta menanam lebih 200 benih bakau di kawasan lapang hutan berkenaan.

"Sebahagian kawasan hutan itu kosong dan tidak lagi mempunyai pokok bakau. Justeru kami mengambil inisiatif untuk menyokong program menanam semula pokok bakau yang dimulakan sejak 2008.

"Ia bertujuan mengatasi masalah kepupusan pokok bakau di kawasan-kawasan hutan paya di negeri ini," katanya.

Salbinous berkata, usaha mempromosi konservasi tanah lembap di kalangan penuntut sangat penting dan SWCS merupakan pihak yang sesuai untuk membantu mereka.

Menurutnya, seramai 49 peserta UMS yang mengikuti program itu terdiri daripada penuntut tahun satu hingga tiga Program Konservasi Biologi yang dikendalikan oleh Institut Konservasi dan Biologi Tropika UMS.

"Walaupun subjek pemuliharaan hutan adalah satu komponen standard dalam kuliah, namun pengalaman melaksanakannya secara praktikal memberi makna yang berbeza kepada penuntut untuk memahami konsep pemuliharaan paya bakau," ujarnya.

Beliau menambah, penanaman semula pokok bakau memberi manfaat jangka panjang kepada alam sekitar.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...