Thursday, March 08, 2012

Anak Petani Catat Keputusan Cemerlang SMK Sri Gunong


BACHOK – Seorang anak petani dekat sini berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan kelmarin.

Nurul Azza Husna Hashim,20, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunong berkata, kejayaannya adalah berkat doa ibu bapanya yang sentiasa menunaikan solat hajat untuk memberkati pembelajaran beliau sepanjang tahun.

Menurut Nurul Azza, ibunya, Rohizam Mohd Nasir,47,  sentiasa menunaikan solat hajat hampir setiap malam untuk membolehkan beliau menghadapi STPM dengan cemerlang.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana doa ibu dan bapa termakbul juga untuk melihat saya mencapai kecemerlangan dalam STPM kali ini.

“Dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu saya banyak main – main dan hanya mendapat 3A dan 5B. Selepas itu, saya menyedari kesilapan saya yang menghampakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi untuk melihat saya berjaya. Sebab itulah saya melakukan yang terbaik dalam STPM tahun lalu,” katanya yang berhajat untuk melanjutkan pelajaran sebagai guru di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Katanya, antara resepi kejayaan beliau ialah belajar mengikut keselesaan dan kurang menonton televisyen.

Nurul Azza sendiri juga sering menunaikan solat hajat dan tahajud dan mentelaah pelajaran setiap hari termasuk pada waktu malam dan awal pagi.

“Saya sedar atas kelalaian dalam SPM lalu dan kini saya ingin menetapkan azam untuk meneruskan pelajaran dan membantu keluarga yang banyak berkorban untuk membesarkan saya selama ini,” kata anak sulung dari tiga beradik ini.

Nurul Azza mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 iaitu pelajar paling cemerlang di sekolahnya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...