Friday, March 16, 2012

Atasi Masalah Kurang Guru di SJKC dan SJKT


KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Pelajaran tidak menghadapi masalah kekurangan guru di sekolah kebangsaan kecuali untuk subjek tertentu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi permasalahan di SJKC, punca utama berlakunya kekurangan adalah faktor bekalan guru berkelayakan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Mandarin.

Menurut beliau, bagi menangani isu itu, kementerian telah melaksanakan beberapa langkah seperti menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Kekurangan Guru di SJKC.

‘‘Sehingga kini sebanyak dua mesyuarat telah diadakan untuk mendapatkan satu penyelesaian terbaik dalam waktu terdekat. Kita juga mencadangkan supaya guru opsyen Pengajian Cina di SJKC yang telah lama mengajar mata pelajaran lain lebih daripada lima tahun, contohnya Matematik dan Sains, diberikan latihan tambah opsyen melalui Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

‘‘Langkah lain, meluluskan sejumlah 4,407 jawatan di sekolah menengah untuk diisi secara sementara oleh calon guru yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan tetapi belum dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sebagai guru interim sehingga 15 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu punca kekurangan guru dan gaji harian yang diberikan kepada guru sementara yang memegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta guru sementara yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian juga meluluskan sejumlah 1,848 jawatan di SJKC dan 128 jawatan di SJKT untuk diisi secara sementara oleh guru interim sehingga bekalan guru tetap dapat dibekalkan oleh SPP.

Mengenai persoalan tentang gaji guru sementara UEC dan lepasan SPM, katanya, pelantikan anggota perkhidmatan awam termasuk guru sementara dan guru ganti adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, jelas beliau, kementerian tidak pernah melantik guru sementara dengan menggunakan kelayakan UEC.

‘‘Seterusnya, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 3/2011, kadar upah pekerja sambilan harian termasuk guru ganti bagi lulusan SPM adalah sebanyak RM54 sehari,” katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...